Syarikat Leave a Nest Malaysia jadi ibu pejabat utama Asia Tenggara

Syarikat Leave a Nest Malaysia jadi ibu pejabat utama Asia Tenggara


KUALA LUMPUR – Anak syarikat Leave a Nest Group iaitu Leave a Nest Malaysia Sdn. Bhd. – penerajui platform usaha pupuk minat sains dan teknologi mengumumkan syarikatnya di Cyberjaya sebagai ibu pejabat utama rantau Asia Tenggara.

Pengarah Urusan Leave a Nest Malaysia, Abdul Hakim Sahidi berkata, pencapaian itu menandakan komitmen syarikat terbabit bagi memupuk kemajuan bidang itu secara serius di rantau ini pada masa akan datang.

Usaha awal syarikat kini tertumpu kepada aktiviti berkaitan pendidikan, termasuk bengkel sains dan persidangan sains bagi mencetus minat di kalangan pelajar sekolah.

“Justeru, Leave a Nest Malaysia menyasarkan keuntungan sebanyak RM4 juta pada tahun depan selepas keuntungan sehingga kini mencecah RM2.4 juta sekali gus berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

“Pihak kami optimis dengan pelbagai inisiatif dan kerjasama yang dilakukan oleh Leave a Nest Malaysia sasaran tersebut mampu dicapai untuk tahun 2025,” katanya pada pengumuman ibu pejabat utama itu baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga Pengasas Leave a Nest Group, Dr. Yukihiro Maru.

Leave a Nest Malaysia Sdn. Bhd. mengumumkan syarikatnya di Cyberjaya sebagai ibu pejabat utama bagi rantau Asia Tenggara.

Abdul Hakim menambah, Leave a Nest Malaysia juga  berjaya memeterai MoU dengan lima agensi kerajaan di Malaysia, Vietnam dan Indonesia sepanjang 11 tahun penubuhannya,

“Melalui MoU ini, Leave a Nest mencipta ‘jambatan’ yang sekali gus membantu syarikat pemula Malaysia berkembang ke pasaran Jepun.

“Selain itu, Leave a Nest Malaysia telah menjalin kerjasama dengan 11 universiti di Malaysia dan Indonesia di mana ia memfokuskan terhadap kerjasama antara penyelidik dan industri, menyokong usaha pengkomersilan dan memupuk bakat pelajar,” katanya.

Sementara itu, Dr. Yukihiro berkata, Leave a Nest Group turut menyatakan hasrat untuk melabur sebanyak AS$10 juta atau lebih RM40 juta bagi syarikat-syarikat pemula di rantau Asia Tenggara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menurut beliau, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya lebih 30 syarikat pemula dari Malaysia yang terlibat dalam sektor pertanian, robotik serta teknologi angkasa bagi pelaburan itu. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top