Islamabad: Ketegangan memuncak antara Pakistan dan India memaksa beberapa syarikat penerbangan utama dunia mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengelak daripada melalui ruang udara Pakistan.
Syarikat penerbangan Air France dalam kenyataan kepada CNN memaklumkan, mereka menggantung sementara penerbangan yang melintasi negara Asia Selatan itu susulan perkembangan terbaharu membabitkan hubungan kedua-dua negara berjiran yang semakin meruncing.
“Air France sedang menyesuaikan jadual dan laluan penerbangannya ke beberapa destinasi. Ini menyebabkan ada laluan yang memerlukan masa penerbangan lebih panjang,” kata syarikat penerbangan kebangsaan Perancis itu.
Menurut Air France, mereka sentiasa memantau perkembangan geopolitik di kawasan yang dilayan dan dilalui pesawatnya demi memastikan keselamatan penerbangan berada pada tahap tertinggi.
Sementara itu, syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa turut mengesahkan kepada Reuters bahawa mereka mengelak ruang udara Pakistan sehingga diberitahu kelak.
Difahamkan, kedua-dua negara terbabit sebelum ini sudah menutup ruang udara masing-masing kepada pesawat dari negara lawan susulan serangan yang berlaku, namun ketegangan yang semakin memuncak kini turut menjejaskan syarikat penerbangan antarabangsa lain.
Tindakan mengelak laluan biasa itu dijangka memberi impak kos kepada syarikat penerbangan yang terpaksa membakar lebih banyak bahan api akibat perjalanan yang lebih jauh.
Data penjejakan penerbangan menunjukkan beberapa pesawat milik British Airways, Swiss International Air Lines dan Emirates kini memilih untuk terbang melalui Laut Arab sebelum membelok ke utara menuju Delhi bagi mengelak memasuki ruang udara Pakistan, lapor Reuters.
© New Straits Times Press (M) Bhd