Syazani Zikry luah perasaan melalui lensa kamera

Syazani Zikry luah perasaan melalui lensa kamera


Bagi kebanyakan individu, kamera sering dianggap sekadar alat untuk merakam momen penting dalam kehidupan.

Namun, bagi pelakon muda, Syazani Zikry, kamera merupakan medium untuk meluahkan emosi, pandangan dan sisinya yang jarang dilihat orang apatah lagi dirinya juga gemar melancong.

“Saya sebenarnya seorang photographer. Dari dulu lagi saya suka mengambil gambar. Tetapi saya sudah lama tidak melakukannya kerana sibuk bekerja.

“Dalam masa sama, saya suka melancong untuk hilangkan stres. Saya boleh katakan kedua-dua hobi ini bergerak seiringan sebab saya boleh ambil gambar ketika bercuti,” katanya kepada Pancaindera.

Tambah Syazani, seni fotografi begitu istimewa buat dirinya kerana dia dapat mengungkapkan segala sudut pandangannya menerusi foto-foto yang diambil.

“Fotografi ini lebih kurang seperti berlakon. Jika berlakon, kita meluahkan emosi di hadapan kamera. Pada saya, saya meluahkan emosi dan persepsi saya melalui lensa kamera.

“Mungkin ada sesetengah orang tidak faham apa maksud tersirat di sebalik gambar-gambar yang diambil. Seperti saya sendiri suka ambil gambar di sudut kecil yang mungkin tiada orang perasan.

“Di situ mungkin ada ceritanya dan saya akan tulis segala persepsi saya mengenai gambar tersebut dalam satu nota,” jelasnya.

Ditanya sama ada dia ada menghadiri mana-mana kursus untuk mengasah kemahirannya bergambar, pelakon yang berusia 25 tahun itu memaklumkan dirinya hanya berguru dengan bapanya dan arwah datuknya.

“Saya tidak menghadiri mana-mana kelas untuk belajar seni fotografi. Semuanya belajar sendiri melalui pemerhatian saya kerana bakat ini juga boleh dikira turun temurun kerana arwah datuk dan ayah saya juga pandai bergambar.

“Dari mereka juga saya dapat melihat revolusi dunia fotografi dari jenis kamera yang dimiliki arwah datuk saya sehinggalah kamera zaman sekarang. Saya juga ada menyimpan beberapa koleksi kamera digital dan filem,” kongsinya.

Dalam masa sama, pelakon itu mengakui dirinya juga tidak dapat lari dari berdepan dengan cabarannya meskipun sudah mahil mengambil gambar.

“Sejujurnya untuk mencari perspektif dan sudut yang terbaik untuk menangkap gambar yang menarik itu agak mencabar. Perkara itu akan buat kita rasa sukar hendak beritahu motif mengapa kita ambil gambar sedemikian.

“Dalam masa sama, kita juga perlu mengetahui cara untuk menyunting gambar atau mungkin cara untuk menghasilkan warna tertentu dalam gambar yang diambil supaya lebih menonjol. Semua itu adakalanya mencabar juga,” katanya lagi.

Enggan sia-siakan kemahiran yang dimiliki, Syazani mengakui dirinya pernah menyimpan angan-angan untuk menjadikan hobi itu sebagai satu perniagaan namun, terpaksa melupakannya kerana kekangan masa.

“Sebelum menceburi bidang lakonan, saya memang aktif mengambil gambar sehingga dilantik sebagai pengerusi kelab fotografi di sekolah.

“ Saya juga pernah mengambil gambar di beberapa acara atau majlis pernikahan dan tangkap gambar jenama tudung.

“Saya harap saya boleh jadikan hobi ini sebagai satu perniagaan untuk pendapatan sampingan. Tetapi kerana kekangan masa saya hanya lakukannya pada masa lapang sahaja,” ceritanya.

Menyedari fotografi itu bukanlah hobi yang murah, Syazani mengakui dirinya banyak melabur untuk membeli film roll untuk kamera jenis filem yang dimilikinya.

“Tidak dinafikan untuk memiliki sesebuah kamera itu memerlukan sejumlah wang yang besar. Namun, untuk kamera jenis digital saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyimpan hasil gambar yang telah ditangkap.

“Tetapi, untuk kamera jenis filem banyak juga saya sudah berhabis,” ujarnya.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top