Syed Azmir mahu bawa PSM ke tahap lebih tinggi pada masa depan.
PRESIDEN Persatuan Sepaktakraw Perlis (PSTPs), Syed Azmir Syed Ahmad menyuarakan kesediaan untuk menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu di Kuala Lumpur pada 29 Jun ini.
Malah jelas Syed Azmir, keputusan menawarkan diri bagi jawatan nombor satu itu setelah mempertimbangkan pengalaman luas serta komitmennya dalam arena pentadbiran sukan sepak takraw sejak tahun 1995.
“Saya aktif dalam pentadbiran sukan sejak 1995 dan menyertai PSM sejak 2006. Kini menerajui PSTPs sebagai Presiden bagi penggal 2025 hingga 2027.
“Berdasarkan latar belakang serta penglibatan saya yang lama dalam sukan ini, saya percaya mampu memikul amanah sebagai Presiden PSM dengan penuh iltizam dan profesionalisme, sekiranya diberikan peluang dalam kalangan perwakilan,” katanya.
Bagaimanapun jelas Syed Azmir, pencalonan itu bergantung kepada keputusan penyandang jawatan Datuk Mohd Sumali Reduan, akan mempertahankan kedudukan tersebut atau sebaliknya.
“Namun, jika Datuk Mohd Sumali mengesahkan untuk bertanding semula, saya akan memberi laluan dan sebaliknya mempertimbangkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PSM
“Saya tiada masalah untuk bekerjasama dengan Datuk Sumali demi pembangunan PSM. PSTPs juga akan terus memberi sokongan penuh kepada kepimpinan beliau sekiranya terus diberi mandat,” katanya.