ACARA triatlon jarak jauh Ironman bukan sekadar menguji kekuatan fizikal dan mental, tetapi turut membentuk karakter diri menukar yang mustahil menjadi realiti.
Sejak kembali dianjurkan di Langkawi pada 2014, acara ikonik itu telah mencetuskan revolusi senyap dalam landskap sukan negara.
Ia bukan sahaja menginspirasikan ribuan atlet menguji had kemampuan diri, malah menjadikan pulau legenda itu pusat perlumbaan ketahanan terulung di Asia.
Antara yang terpanggil menyahut cabaran tersebut ialah bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang bakal kembali beraksi buat kali kedua berturut-turut pada Sabtu ini.
Pada penampilan sulungnya tahun lalu, beliau berdepan insiden kemalangan basikal di pertengahan perlumbaan namun tetap menamatkan saingan dalam masa 13 jam 13 minit — satu pencapaian yang mencerminkan tekad dan ketabahannya.
“Ironman Malaysia amat sentimental bagi saya. Ia kejohanan penuh pertama yang saya sertai, dan lebih daripada itu, Ironman Langkawi bagaikan ‘Hari Raya’ buat triatlet.
“Peserta dari seluruh negara menantikan acara ini sama ada kategori separuh atau penuh. Tahun lalu saya fokus untuk bertahan, tahun ini saya mahu berlumba dengan lebih kuat dan berkembang,” katanya.
Edisi kali ini menjanjikan cabaran mencabar dengan renangan sejauh 3.8 kilometer di Pantai Kok, diikuti kayuhan 180km merentasi perkampungan dan jalan pesisir pantai sebelum lari maraton 42.2km di sepanjang Pantai Cenang yang berakhir di Pelangi Beach Resort & Spa.
Bagi Syed Saddiq, pengalaman lalu banyak mengajarnya erti sebenar ketahanan diri dan disiplin.
Imbas…Syed Saddiq mengalami kecederaan ringan setelah basikal ditunggangnya melanggar dahan pokok tumbang dalam saingan Ironman 2024.
“Pelajaran paling besar ialah latihan itu sebenarnya Ironman yang sebenar. Ratusan jam berlatih adalah perlumbaan sebenar, manakala hari perlumbaan ialah hari kita meraikannya.
“Saya hanya berharap tahun ini semuanya berjalan lancar tanpa kemalangan atau masalah teknikal,” katanya yang tahun lalu cedera ringan selepas basikalnya melanggar dahan pokok tumbang.
Penganjuran Ironman sejak sedekad lalu turut menyemarakkan penubuhan kelab triatlon di seluruh negara dari Kuala Lumpur hingga Kota Kinabalu sekali gus membentuk budaya komuniti sukan lasak yang saling menyokong dan berlatih bersama.
Menurut Pengarah Wilayah Ironman Asia, CG Lim, kejohanan itu kini menjadi simbol ketabahan dan transformasi diri.
“Ironman Malaysia ialah tempat rakyat Malaysia sedar bahawa yang mustahil bukan sesuatu yang kekal. Dalam tempoh 10 tahun, ia berkembang daripada perlumbaan khusus kepada simbol ketahanan dan perubahan diri,” katanya.
Sementara itu, Ironman 70.3 Langkawi yang diperkenalkan pada 2017 terus berperanan sebagai pintu masuk kepada peserta baharu, menawarkan cabaran separuh jarak 1.9km renang, 90km berbasikal dan 21.1km berlari sebelum mereka bersedia menyertai perlumbaan penuh.
Ringkasan AI
- ACARA triatlon jarak jauh Ironman membentuk karakter diri dan menukar yang mustahil menjadi realiti
- Sejak 2014, acara ini telah mencetuskan revolusi dalam landskap sukan Malaysia dan menjadikan Langkawi pusat perlumbaan ketahanan di Asia
- Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, akan beraksi untuk kali kedua berturut-turut
- Edisi kali ini mencabar dengan renangan sejauh 3.8 kilometer, kayuhan 180km dan lari maraton 42.2km
- Penubuhan kelab triatlon di seluruh negara membentuk budaya komuniti sukan lasak yang saling menyokong





