BEKAS Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menyifatkan cadangan membawa masuk pengadil luar negara bagi mengendalikan perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) sebagai kurang sihat untuk ekosistem bola sepak tempatan.
Subkhiddin sebaliknya menegaskan bahawa setiap pasukan dan Persatuan Bolasepak Negeri (FA) harus bertanggungjawab dalam melahirkan pengadil lokal berkualiti dan tidak hanya menumpukan kepada pembangunan pemain semata-mata.
“FAM sebagai badan induk perlu memastikan pengadil terbaik dalam kalangan anggota gabungannya mengendalikan setiap perlawanan.
“Jika FAM gagal melantik pengadil yang berkualiti, ini bermakna FA juga perlu bertanggungjawab atas kelemahan ini,” katanya yang juga bekas pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Beliau turut menyarankan agar FA bekerjasama dengan FAM untuk merancang program pembangunan yang lebih sistematik dalam melahirkan pengadil bertaraf Asia dan dunia.
“Kita bangga apabila pemain tempatan mewakili pasukan kebangsaan, maka semangat yang sama perlu ada untuk melihat pengadil tempatan mengendalikan liga kita sendiri,” tambahnya.
Cadangan membawa masuk pengadil luar negara dicetuskan oleh Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail sebagai langkah mengatasi ketidakpuasan hati sesetengah pasukan terhadap mutu pengadil tempatan.
Sebelum ini Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram menjelaskan mana-mana pasukan boleh memohon khidmat pengadil luar negara tetapi perlu menanggung sendiri kos tersebut.
Mengulas cadangan supaya pengadil FAM diletakkan di bawah badan bebas, Subkhiddin berkata bahawa setiap pihak berhak memberikan pandangan dan mempunyai alasan tersendiri dalam mengemukakan cadangan tersebut.
“Namun, jika wujud persoalan mengenai keyakinan terhadap FAM, perkara yang sama mungkin berlaku sekiranya badan bebas ditubuhkan.
“Mengapa tidak kita perkasakan pengurusan pengadil di FAM supaya ia lebih telus dan bebas daripada sebarang unsur yang boleh menjejaskan integriti,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa negara perlu terus bergerak ke hadapan tanpa menjejaskan perkembangan bola sepak tempatan.
“Setiap cadangan pasti mempunyai pro dan kontra. Apa yang penting, kita perlu memastikan bola sepak negara terus berkembang ke arah yang lebih baik,” ujarnya.