Syria tak minat cetus konflik baharu dengan Israel

Syria tak minat cetus konflik baharu dengan Israel


DAMSYIK: Pemimpin de facto Syria, Ahmad al-Sharaa mendakwa Israel menggunakan alasan palsu untuk mewajarkan serangan terhadap negara itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pihaknya tidak berminat untuk mencetuskan konflik baharu kerana Syria kini memberi tumpuan kepada usaha pembinaan semula negara selepas kejatuhan pemerintahan diktator, Bashar al-Assad.

“Alasan Israel semakin lemah dan jelas melampaui batas dalam penglibatan mereka di Syria, yang berisiko mencetuskan ketegangan tidak wajar di rantau itu.

“Keadaan Syria yang letih berperang selepas bertahun-tahun konflik, tidak membenarkan konfrontasi baharu.

“Keutamaan pada peringkat ini adalah pembinaan semula (negara) dan kestabilan, bukan terjerumus dalam pertikaian yang membawa kepada kemusnahan,” kata Sharaa dalam temu bual diterbitkan di laman web Syria TV, saluran pro pembangkang.

Israel kini memasuki zon demilitarisasi di dalam Syria yang diwujudkan selepas Perang Arab-Israel 1973, termasuk bahagian Syria di Gunung Hermon yang strategik dan menghadap ke Damsyik, di mana ia mengambil alih pos tentera yang ditinggalkan.

Israel melancarkan ratusan serangan terhadap simpanan senjata strategik Syria meskipun mendakwa tidak berhasrat untuk kekal di kawasan tersebut dan menyifatkan pencerobohannya sebagai langkah terhad serta sementara bagi memastikan keselamatan sempadan.

Beberapa negara Arab termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan mengutuk tindakan yang disifatkan sebagai rampasan zon penampan oleh Israel di Bukit Golan.

Sharaa menegaskan, penyelesaian diplomatik adalah satu-satunya cara untuk menjamin keselamatan dan kestabilan, termasuk menolak sebarang bentuk tindakan ketenteraan yang tidak terancang.

Mengulas mengenai campur tangan Russia selama hampir satu dekad membantu Assad, beliau berkata, hubungan Moscow dan Syria harus memenuhi kepentingan bersama.

“Peringkat semasa memerlukan pengurusan yang teliti dalam hubungan antarabangsa,” katanya.

MEKANISME BEKALAN MAKANAN

Susulan kejatuhan rejim Assad, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengarahkan kerajaannya untuk menyediakan mekanisme bekalan bagi menghantar makanan ke Syria bersama dengan organisasi dan rakan antarabangsa.

“Kami bersedia untuk membantu Syria dalam mencegah krisis makanan, terutama melalui program kemanusiaan ‘Gandum dari Ukraine’.

“Saya mengarahkan kerajaan untuk menubuhkan mekanisme bekalan makanan dengan kerjasama organisasi dan rakan antarabangsa yang boleh membantu,” kata Zelensky dalam hantaran di X.

Ukraine merupakan antara pengeksport bijirin dan biji minyak terbesar di dunia, dan mengeksport gandum serta jagung ke negara-negara Asia Barat, tetapi tidak ke Syria.

Syria mengimport makanan dari Russia semasa era pemerintahan Assad, tetapi bekalan gandum Russia digantung akibat ketidaktentuan serta kelewatan pembayaran, menurut sumber Russia dan Syria pada Jumaat lalu.

Eksport Ukraine terjejas teruk oleh pencerobohan berskala penuh Russia pada Februari 2022, yang mengurangkan penghantaran melalui Laut Hitam dengan ketara.

Sejak itu, Ukraine memecahkan sekatan laut de facto dan menghidupkan semula eksport dari pelabuhan selatan di Odesa.– REUTERS





Source link

OR

Scroll to Top