Pelawak Shuib meluahkan rasa syukur apabila dia dan anaknya, Talita dinobat naib juara Grand Finale Talk To My Manager TTMM malam tadi.
Memetik HibGlam, Shuib berkata hampir seminggu dia memendam rasa apabila dikecam teruk oleh netizen berikutan ada yang mendakwa wujud ‘favoritisme’ dalam TTMM.
BACA: “Setiap Nota Talita Nyanyikan Adalah Doa Yang Terbang Kepadamu”
“Seminggu saya tahan. Orang cakap ada ‘favoritisme’ dalam TTMM dan menyasarkan anak saya Thalita kononnya Grand Finale diwujudkan sebab dia.
“Bila manager-manager lain beritahu mereka sudah sedia maklum tentang penambahan minggu, orang tak mahu percaya juga. Juri-juri pun tahu ada lapan minggu.
“Bila kami dinobatkan sebagai naib juara, saya rasa gembira dan lega. Bayangkan kalau kami jadi juara, mesti mereka akan cakap memang sudah dirancang,” katanya.
Sementara itu, Shuib berkata emosi anaknya terganggu disebabkan komen kecaman berkenaan malah ada yang meminta mereka menarik diri sehinggakan dia berdoa agar mereka tidak menang.
“Ada lebih 10 ribu komen kecaman terhadap Thalita. Dia betul-betul ‘down’. Saya kena pantau supaya dia tak baca komen. Dia pula tengah bergelut dengan masalah kesihatan. Ada orang mesej saya dalam Instagram suruh kami tarik diri.
“Saya dan Thalita sama-sama ‘down’. Saya sampai berdoa kepada Allah supaya tak menang. Sebab kalau menang, pasti kena kecam. Letih saya nak menjawab nanti,” katanya.
Sumber: HibGlam