Syukur Mikha temui pasangan hidup yang terbaik untuknya – Sheila Rusly 

Syukur Mikha temui pasangan hidup yang terbaik untuknya – Sheila Rusly 


Kuala Lumpur: Anak kedua kepada pelakon dan penerbit terkenal Sheila Rusly iaitu Luth Mikhail Azman, 24, selamat mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya, Beatrice Valeria Chitra, 24, pada Jumaat lalu.

Luth Mikhail dan Beatrice terlebih dahulu bernikah di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak.

Majlis pernikahan pasangan ini diadakan dalam suasana sederhana namun penuh bermakna, disaksikan oleh keluarga terdekat, rakan-rakan dan sahabat handai kedua-dua pihak. 

Sheila yang juga isteri kepada pengarah terkenal Azman Yahya atau Jinggo meluahkan rasa terharu selain berkongsi kegembiraan melihat anaknya melangkah ke alam perkahwinan. 

“Sebagai seorang ibu, saya amat bersyukur melihat Mikha kini menemui pasangan hidup yang terbaik untuknya. Saya mendoakan agar perkahwinan mereka kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

“Dalam detik istimewa itu, dengan penuh rasa kasih sayang, saya tidak lupa berdoa agar ikatan suci yang sedang dijalin mereka menjadi ladang kebahagiaan yang subur sampai bila-bila, Insya Allah,” katanya.

Pasangan kedua mempelai kemudiannya diraikan dalam majlis persandingan yang penuh indah hasil sentuhan Juweinezain Bridal Gallery di sebuah hotel dekat Genting Highlands, Pahang.

Luth Mikhail dan Beatrice Valeria yang masing-masing kelihatan anggun dan tampan pada hari istimewa menzahirkan rasa syukur kerana majlis dirancang berjalan lancar.

Perkahwinan ini turut mendapat perhatian ramai peminat Sheila yang tidak henti-henti memberikan ucapan tahniah dan doa melalui media sosial.

Pihak keluarga juga memohon agar semua pihak mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan pasangan pengantin.

Beatrice yang berbangsa Cina dari Jakarta, Indonesia terdahulu memeluk Islam pada Ogos tahun lalu.

 

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR