Kuala Lumpur: Penyanyi Syura Badron, 39, kini dirawat di Unit Rawatan Separa Rapi (HDU) sebuah hospital swasta selepas disahkan mengalami jangkitan kuman dalam darah sejak petang semalam.
Suaminya, Muhammad Farizat Ismail berkata, pada mulanya Syura hanya mengalami batuk dan selesema sebelum diserang demam berpanjangan sejak seminggu lalu.
Menurutnya, isterinya tetap berkeras mahu menghadiri festival makanan di Port Dickson, Negeri Sembilan yang berlangsung selama empat hari, biarpun keadaan kesihatannya semakin merosot.
“Sepanjang empat hari di sana, keadaan Syura makin teruk sehingga seluruh badannya menggigil.
“Syura memang sejenis yang degil, dia selalu rasa dia tahu tahap kesakitannya dan cuba bertahan.
“Tapi bila dia dah tak larat sampai nak bangun pun terpaksa dipapah, saya terus bawa dia ke klinik berhampiran. Hasil ujian darah tidak normal dan dia perlu segera dirujuk ke hospital,” katanya kepada BH Online.
Katanya, keadaan penyanyi yang pernah popular dengan lagu Nazam Berkasih itu Syura semakin lemah sepanjang perjalanan dari Port Dickson ke Kuala Lumpur sebelum dirawat di bahagian kecemasan sebaik tiba di hospital.
“Doktor segera melakukan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan mengesahkan terdapat jangkitan kuman dalam darah yang sudah merebak ke buah pinggang.
“Menurut doktor, ia bukan influenza atau denggi, tetapi berpunca daripada jangkitan bakteria. Mujur kami segera bawa Syura ke hospital kerana jika terlambat sehari dua lagi, kuman itu boleh merebak ke organ lain,” katanya.
Katanya, Syura kini dipantau rapi selepas suhu badan mencecah 40 darjah selsius, selain tekanan darah dan nadi yang tidak stabil.
“Doktor terpaksa menempatkan Syura di HDU bagi pemantauan intensif. Malam tadi keadaan dia agak teruk, mungkin disebabkan tubuhnya sedang melawan antibiotik.
“Alhamdulillah, pagi tadi saya sempat bercakap dengannya melalui telefon. Suaranya kedengaran lemah, tapi masih boleh berkomunikasi,” katanya.
Berikutan itu, Muhammad Farizat memohon orang ramai mendoakan kesembuhan isterinya.
“Saya pernah melalui pengalaman dimasukkan ke hospital akibat melecur tahun lalu. Dari situ saya belajar bahawa doa orang ramai sangat mustajab.
“Saya mohon agar semua mendoakan Syura kembali sihat seperti sedia kala,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






