Szczęsny kekal penjaga gol utama Barcelona berdepan Inter, Real Madrid

Szczęsny kekal penjaga gol utama Barcelona berdepan Inter, Real Madrid


Szczesny (kiri) semasa sesi latihan bersama Ter Stegen minggu lalu. – Foto AFP

PENJAGA gol, Wojciech Szczęsny, disahkan akan terus menjadi pilihan utama di gawang Barcelona untuk pertembungan Liga Juara-Juara menentang Inter Milan pada Rabu termasuk aksi El Clasico menentang Real Madrid hujung minggu ini.

Pengendali Barcelona, Hansi Flick, memberikan jaminan itu walaupun penjaga gol utama, Marc-André ter Stegen, telah kembali daripada rehat panjang akibat kecederaan.

“Szczęsny akan menjadi penjaga gol menentang Inter dan juga menentang Real Madrid,” tegas Flick dalam sidang akhbar selepas perlawanan menentang Real Valladolid.

Sebagai rekod, Ter Stegen kembali beraksi dalam kemenangan 2-1 ke atas Valladolid di Stadium José Zorrilla pada Ahad.

Barcelona bakal bertandang ke Stadium San Siro dengan kedudukan agregat 3-3 selepas terikat dalam perlawanan timbal balik pertama pada 1 Mei lalu.

Anak buah Flick kemudian dijadualkan berdepan Real Madrid dalam saingan La Liga di Stadium Olimpik Lluís Companys pada Ahad.

Pada masa sama, Flick turut mengakui berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang bangkit daripada ketinggalan untuk meraih tiga mata berharga di laman lawan.

“Kami berdepan kesukaran lebih daripada jangkaan, namun matlamatnya tetap sama tiga mata. Saya berpuas hati dan tidak kecewa,” katanya.

Pengendali dari Jerman itu turut mempertahankan keputusan taktikalnya yang melakukan sembilan pertukaran dalam kesebelasan utama ketika menentang Valladolid.

“Apabila anda melakukan sembilan perubahan, ia bukan tugas mudah untuk mereka. Mereka masih muda dan saya percaya kepada mereka. Mereka memberikan segalanya, walaupun ia memang mencabar,” ujar Flick.

Kemenangan ke atas Valladolid membolehkan Barcelona melebarkan kedudukan di puncak La Liga kepada tujuh mata, sementara menantikan keputusan perlawanan Real Madrid menentang Celta Vigo pada malam Ahad.



Source link

OR

Scroll to Top