Nur Izzuddin (kanan) dan Szi Fei mara ke suku akhir Terbuka Jepun selepas menumpaskan pasangan tuan rumah dalam aksi pusingan kedua di Tokyo pada Khamis.Foto Agensi
BEREGU lelaki nombor satu dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menepati ramalan apabila dengan mudah melangkah ke suku akhir Terbuka Jepun 2025 di Tokyo pada Jumaat.
Kejayaan tersebut diraih selepas pasangan profesional itu dengan mudah membenam cabaran gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita dalam aksi pusingan kedua baru-baru ini.
Dalam aksi di Gimnasium Metropolitan itu, Sze Fei-Nur Izzuddin hanya memerlukan tempoh 38 minit untuk mengalahkan pasangan tuan rumah itu.
Gandingan negara itu akan menentang sama ada wakil Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto atau wakil Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Søgaard dalam saingan kelompok lapan terbaik.
Sejak bergelar beregu nombor satu dunia pada akhir bulan Mei lalu, Sze Fei-Nur Izzuddin gagal menyerlah apabila tersingkir di peringkat suku akhir dalam tiga kejohanan berturut-turut, iaitu Malaysia Masters, Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia.
Bagaimanapun, diharapkan pasangan negara itu dapat memadamkan badi suku akhir apabila mara ke pusingan separuh akhir dan mengintai peluang ke final, sekali gus cuba mempertahankan kejuaraan yang dirangkul pada musim lalu.