BEREGU profesional lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani enggan terlalu memikirkan status sebagai pasangan nombor satu dunia, sebaliknya hanya mahu fokus kepada prestasi sendiri.
Mereka bakal kehilangan status tersebut kepada pasangan nombor tiga dunia, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae.
Sze Fei-Nur Izzuddin pada Ahad terlepas peluang untuk mempertahankan gelaran Terbuka Jepun setelah tewas di tangan pasangan Korea Selatan itu secara straight.
“Kami akan mempersiapkan diri dengan lebih baik pada masa akan datang dan hanya akan fokus pada diri sendiri,” ujar Nur Izzuddin.
Kekalahan tersebut menyaksikan takhta nombor satu dunia milik Sze Fei-Nur Izzuddin bakal bertukar tangan kepada lawan mereka itu yang akan diumumkan sebagai beregu nombor satu dunia apabila ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dikemaskini Selasa ini.
Pasangan dari negara Kimchi itu sebelum ini mengesahkan kedudukan di puncak dunia apabila mara ke suku akhir.
Namun mereka melengkapkannya dengan penuh bergaya selepas menumbangkan tiga beregu terbaik Malaysia Man Wei Chong-Tee Kai Wun (suku akhir), Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (separuh akhir) dan Sze Fei-Nur Izzuddin di pentas final.
Mengulas perlawanan akhir tersebut setelah tewas 16-21, 17-21, Sze Fei mengakui sudah memberikan yang terbaik, namun pasangan lawan lebih ampuh, sekali gus muncul sebagai pemenang.
“Kami hanya bermain sehabis baik dan menikmati permainan. Kelajuan mereka sangat pantas dan kami cuba untuk mengejar, tetapi mereka terlalu bagus,” katanya.
Keputusan tersebut menyaksikan Won-ho dan Seung-jae menjarakkan jurang kemenangan kepada 2-1 ke atas Sze Fei-Nur Izzuddin.
Biarpun tewas, Sze Fei-Nur Izzuddin yang muncul juara Terbuka India Januari lalu ke atas lawan yang sama tetap boleh berbangga dengan hadiah wang tunai AS$33,250 (RM141,182).
Pasangan Korea Selatan yang bergelar juara pula membawa pulang AS$70,300 (RM298,500)
Keputusan tersebut menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin mengulangi pencapaian yang dilakar tiga beregu legenda negara sebelum ini.
Mereka ialah pasangan Razif-Jalani Sidek bagi edisi 1986, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (1998) dan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng (2002).