Sze Fei-Nur Izzuddin juara Terbuka Artik
BEREGU profesional lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei berada dalam kelas tersendiri selepas menundukkan pasangan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada perlawanan akhir Terbuka Artik di Finland pada Ahad.
Dalam perlawanan berlangsung sengit di Vantaan Energia Areena itu, pasangan negara yang berada di kedudukan kelapan dunia tersebut terlebih dahulu bermula goyah apabila tewas 15-21 pada set pertama.
Namun, mereka bangkit dengan permainan lebih kemas pada set kedua untuk melakar kemenangan 21-15 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Sze Fei-Nur Izzuddin meneruskan aksi konsisten mereka apabila melakar kemenangan 21-19 untuk menundukkan Astrup-Rasmussen yang juga pilihan kedua kejohanan berstatus Super 500 itu.
Kemenangan itu juga membolehkan mereka membalas dendam ke atas Astrup-Rasmussen selepas tewas di Masters Malaysia Mei lalu dalam pertemuan terakhir kedua-dua pasangan itu.
Gandingan negara yang keluar dari naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak 1 September lalu itu sebelum ini menjuarai Terbuka Jepun dan Terbuka China.