Sze Fei-Nur Izzuddin mengesahkan tempat ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun. Foto Agensi
BEREGU lelaki utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, mengesahkan tempat ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun selepas mencatat kemenangan penuh dramatik ke atas pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri, pada aksi suku akhir di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Jumaat.
Dalam pertarungan selama 59 minit itu, Sze Fei–Izzuddin tampil dengan semangat juang luar biasa untuk menewaskan gandingan Indonesia berkenaan dalam aksi tiga set.
Pasangan negara memulakan perlawanan dengan penuh yakin apabila mudah menguasai set pertama 21-13, namun dikejutkan dengan kebangkitan lawan yang menyamakan kedudukan menerusi kemenangan 21-17 dalam set kedua.
Set penentuan berlangsung penuh mendebarkan dengan kedua-dua pasangan saling kejar-mengejar mata, sebelum Sze Fei–Izzuddin mengesahkan kemenangan dengan mata akhir 22-20, sekali gus menamatkan cabaran lawan dalam kejohanan bertaraf Super 750 itu.
Sementara itu, hasrat gandingan beregu lelaki negara, Nur Mohd Azriyn Ayub dan bekas pemenang pingat perak Olimpik, Tan Wee Kiong, untuk mara lebih jauh tidak kesampaian apabila tewas di suku akhir pada Jumaat.

Nur Mohd Azriyn dan Wee Kiong tewas di suku akhir.
Dalam pertemuan berkenaan, pasangan veteran negara itu tunduk kepada wakil Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han, 21-18, 23-25, 17-21 selepas beraksi selama lebih satu jam.
Azriyn-Wee Kiong yang mengejutkan pasangan nombor empat dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Rasmussen dalam aksi pusingan kedua bermula cemerlang apabila memenangi set pertama 21-18,
Namun Azriyn-Wee Kiong berstatus nombor 26 dunia berkenaan gagal mengekalkan momentum dalam set kedua apabila dikejutkan lawan 23-25 dalam pertarungan sengit yang menyaksikan kedua-duanya saling mengejar mata.
Set penentuan menyaksikan Azriyn-Tan terus memberi saingan sengit, namun kecergasan dan ketangkasan lawan menjadi faktor penentu apabila mereka akhirnya akur dengan kekalahan 17-21.