Kuala Lumpur: Misi membawa pulang jemaah haji Malaysia Asmah Mansor, 71, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Saudi German Hospital, di Makkah akibat pneumonia kini dimulakan setelah jumlah sumbangan diterima bagi membiayai kos misi itu mencukupi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata setakat 11 pagi, Tabung Musa’adah JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia yang dilancarkan telah berjaya mengumpul sumbangan RM372,222.66 dan ditutup serta merta daripada menerima kutipan.
Beliau berkata baki selebihnya bagi menampung kos tersebut akan disumbangkan Lembaga Tabung Haji (TH) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
“Saya telah mengarahkan TH menguruskan segala proses berkaitan bagi membawa pulang Hajah Asmah secepat mungkin, mengikut prosedur serta bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta Kedutaan Malaysia di Arab Saudi,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau.
Mohd Na’im juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, badan korporat, pertubuhan, serta dermawan yang tampil menyumbang dalam tempoh yang singkat.
Beliau berkata kesatuan serta sifat ihsan rakyat Malaysia telah menterjemahkan semangat perpaduan Malaysia MADANI.
“Semoga Allah SWT membalas segala kebaikan para penyumbang dengan ganjaran yang berlipat ganda dan asbab memudahkan usaha membawa pulang jemaah haji tahun 1446H terakhir itu yang masih berada di Hospital di Mekah,” katanya.
Semalam, Mohd Na’im berkata kira-kira RM500,000 diperlukan bagi membawa pulang jemaah haji itu yang disahkan menghidap pneumonia dan sedang menerima rawatan di Saudi German Hospital sejak 13 September lepas.
Berita berkaitan:
Misi bawa Asmah pulang: Dana terkumpul kini lebih RM100,000
Asmah bekas pesakit kanser, tunai haji bersama anak lelaki
RM500,000 diperlukan untuk bawa pulang Asmah dari Makkah
© New Straits Times Press (M) Bhd





