April 17, 2024

Tabung Haji umum agihan keuntungan 3.1 peratus


KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus bagi tahun kewangan 2023, sama seperti kadar tahun kewangan tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, agihan keuntungan itu membabitkan jumlah agihan sebanyak RM2.72 bilion, berbanding RM2.65 bilion tahun sebelumnya.

Katanya, agihan ini akan memberi manfaat kepada lebih 9.15 juta pendeposit TH dan juga setelah mengambil kira pembayaran zakat sebanyak 2.57 peratus.

“Alhamdulillah, Tabung Haji masih lagi dapat memberikan agihan keuntungan pada kadar 3.10 peratus, sama seperti tahun sebelumnya meskipun negara terus berdepan persekitaran yang mencabar tatkala ekonomi berkembang perlahan serata dunia.

“Prestasi Tabung Haji pada tahun 2023 telah didorong oleh pelaburan patuh Syariah di dalam instrumen pendapatan tetap yang menjana 52 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan, manakala 24 peratus disumbang oleh pelaburan ekuiti.

Pulangan daripada pelaburan hartanah dan pasaran wang juga menyumbang 24 peratus kepada jumlah pendapatan. Ini menjadikan jumlah terkumpul agihan keuntungan sejak penubuhan selama 60 tahun sebanyak RM42.9 bilion sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH tahun 2023 di sini, hari ini.

Menurut Mohd Na’im lagi, TH turut akan melunaskan zakat sebanyak RM101 juta kepada semua majlis-majlis agama Islam negeri-negeri bagi pihak pendeposit Tabung Haji pada kadar 2.57 peratus untuk tahun 2023.

Ujarnya, TH berharap dengan pelunasan zakat itu, secara langsung atau tidak langsung dapat membantu usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara.

“Dengan pelunasan zakat ini, pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima.

“Sehingga kini Tabung Haji telah melunaskan zakat berjumlah RM1.37 bilion bagi pihak Pendeposit,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 



Source link

OR

Scroll to Top