Tahan diri dulu daripada bincang kekosongan kerusi DUN Mahkota – Noraini

Tahan diri dulu daripada bincang kekosongan kerusi DUN Mahkota – Noraini


KUALA LUMPUR – Perbincangan isu kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor perlu dihentikan dan wajar memberi ruang kepada mereka yang sedang berduka dengan pemergian Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, Jumaat lepas.

Menurut Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad, semua pihak terutamanya ahli politik perlu mengambil pendekatan sensitif dan menahan diri daripada membincangan isu kekosongan itu ketika ini.

“Dalam tempoh berdukacita, Wanita UMNO seru semua beri ruang kepada yang sedang berduka atas pemergian ADUN Mahkota.

“Biarlah isu berkenaan dibincangkan melalui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan pihak pengurusan tertinggi parti.

“Kami menghargai kesedaran serta empati yang ditunjukkan oleh masyarakat, dan mengajak semua untuk bersatu memberi sokongan kepada keluarga Allahyarhamah,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, Wanita UMNO turut merasai kesedihan atas kehilangan itu dan menghormati sensitiviti yang dirasai oleh semua pihak, termasuk keluarga Allahyarhamah.

“Wanita UMNO menginsafi pemergian Allahyarhamah serta mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakyat kawasan DUN Mahkota,” katanya.

Semalam, media melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi DUN Mahkota, 13 Ogos ini.

Sharifah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang Jumaat lalu.

Allahyarhamah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 adalah bekas Ketua Wanita UMNO Johor, dan memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top