Tahan lima warga Vietnam

Tahan lima warga Vietnam


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Cubaan lima warga Vietnam termasuk dua remaja menggunakan cap pasport meragukan gagal selepas dikesan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

AKPS dalam kenyataan berkata, lima individu terdiri daripada tiga wanita dan dua remaja perempuan itu ditahan selepas dikesan mencurigakan ketika melalui pemeriksaan di Balai Pelepasan pada jam 10.20 pagi, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut melalui sistem MyIMMS mendapati tiada sebarang rekod pergerakan keluar atau masuk yang sepadan dengan cap pada pasport berkenaan.

“Hasil semakan terhadap dokumen perjalanan mendapati cap keluar dan masuk pada pasport kesemua suspek diragui ketulenannya serta dipercayai diperoleh secara tidak teratur.

“Siasatan awal juga mendapati semua individu terbabit tidak pernah meninggalkan Malaysia dan sudah tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya.

Semua warga asing itu ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 untuk tindakan lanjut

Katanya, pihaknya akan terus memperketatkan pemeriksaan dan pemantauan bagi membanteras cubaan menggunakan dokumen perjalanan palsu atau tidak teratur di pintu masuk utama negara bagi memastikan keselamatan serta integriti sempadan negara sentiasa terpelihara.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top