LEGENDA bola sepak England dan bekas penyerang Newcastle United, Alan Shearer, menyifatkan kemenangan bersejarah Crystal Palace dalam perlawanan akhir Piala FA sebagai lambang kebangkitan pasukan bukan pilihan pada tahun ini.
Menurut Shearer, yang kini bertugas sebagai pengulas sukan BBC, kemenangan Palace ke atas gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester City, mengimbau kembali detik penuh emosi yang beliau alami sewaktu Newcastle United menjuarai Piala Liga beberapa minggu lalu.
“Seperti penyokong Palace, saya juga pernah menanti seumur hidup untuk menyaksikan pasukan kesayangan menjulang trofi utama. Kemenangan ini bukan sekadar sejarah buat kelab, malah ia mencerminkan jiwa dan semangat penyokong yang tidak pernah luntur,” ujar beliau dalam satu ulasan pasca perlawanan di Wembley.
Tambah Shearer, suasana di stadium menyaksikan penyokong Palace mengatasi sorakan peminat Manchester City sejak awal perlawanan.
Beliau turut menggambarkan saat getir ketika masa tambahan diumumkan sebagai babak yang penuh debaran.
“Apabila papan masa menunjukkan 10 minit masa tambahan, saya melihat wajah-wajah gusar dengan tangan di kepala – satu perasaan yang amat saya fahami ketika menanti detik kemenangan Newcastle di stadium yang sama,” katanya.
Kejayaan Palace menjulang Piala FA buat julung kali dalam sejarah kelab disifatkan sebagai detik yang wajar diraikan sepenuhnya oleh seluruh penyokong dan warga kelab.
Shearer turut meramalkan suasana pesta besar-besaran bakal berlangsung di Selhurst Park pada perlawanan seterusnya menentang Wolverhampton Wanderers.
“Mereka perlu menikmati saat ini sepenuhnya. Soal perpindahan pemain, jual beli atau perancangan musim hadapan belum perlu difikirkan sekarang. Fokus utama kini ialah meraikan kejayaan ini dengan penuh bangga,” katanya.
Palace juga dijangka membuat penampilan sulung dalam saingan bola sepak Eropah musim hadapan – satu lagi pencapaian besar yang meletakkan kelab tersebut setanding dengan pasukan elit Liga Perdana Inggeris.
Pada masa sama, Shearer menegaskan bahawa tahun 2025 sedang menyaksikan kebangkitan pasukan kerdil yang tampil mengejutkan dunia bola sepak, sekali gus menghidupkan semula semangat sebenar dalam sukan ini.
“Tahun 2025 milik pasukan bukan pilihan, dan saya sangat teruja menyaksikannya,” ujar beliau.