Tahun paling suram!

Tahun paling suram!


anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Secara fakta, kita belum pun masuk fasa menyelesaikan masalah selepas sekian lama ia berlaku,” tegas penganalisis jenayah dan fasilitator keselamatan, Kamal Affandi Hashim berhubung isu buli dan peningkatan kes jenayah dalam kalangan pelajar sekolah yang semakin membimbangkan.

Beliau mengulas beberapa insiden tragis membabitkan remaja sekolah termasuk kes pelajar perempuan usia 16 tahun ditikam hingga mati oleh rakan sekolah Selasa lalu.

Dalam masa sama, polis turut mendedahkan kes pelajar perempuan 14 tahun di Baling, Kedah diperkosa rakan sebaya selain kes rogol berkumpulan oleh pelajar sekolah di Melaka.

Ini menjadikan tahun 2025 antara tahun paling suram bagi statistik jenayah remaja negara.

Menurut Kamal, kumpulan masyarakat sebenarnya hanya menangguhkan masalah dan bukan menyelesaikan masalah serius dikalangan remaja.

“Insiden kehilangan nyawa akibat jenayah, cedera parah akibat ‘gurauan’ atau kecederaan kecil akibat perselisihan faham, semua itu bukanlah realiti baharu.

“Kita sudah lama berdepan dengan corak keganasan yang sama sejak dulu,” katanya.

Beliau mengimbas kembali sejarah apabila seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, mati dibunuh 12 rakannya pada Mac tahun lalu.

Malah, negara pernah dikejutkan dengan kes Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, yang didera hingga mati oleh rakan pada Mei 2017.

“Itu antara tanda jelas bahawa usia bukan ukuran kematangan atau kawalan emosi.

“Masalah sebenar adalah kita tidak tahu bagaimana mahu melakukannya,” katanya.

Bagi Kamal, perbahasan awam sering tersasar apabila menuding jari kepada keselamatan sekolah atau umur pelaku, sedangkan punca sebenar adalah kegagalan membentuk pelan tindakan menyeluruh.

“Soalnya bukan apa yang hendak dilakukan, tetapi bagaimana ia hendak dilakukan,” katanya.

Antara cadangan beliau ialah memperluas pilihan pembelajaran dalam talian atau kaedah home-schooling bagi pelajar yang dikenal pasti mempunyai masalah kesihatan mental atau kecenderungan agresif.

Kamal turut menegaskan bahawa beban bukan hakiki guru perlu ditangani segera.

“Apabila seorang guru dibebani tugas pengkeranian atau kerja luar bidang, sudah tentu ia menjejaskan kualiti peribadi dan tumpuan terhadap pelajar.

“Akhirnya, murid-murid yang memerlukan perhatian emosi menjadi terpinggir,” katanya.

Kamal menolak tanggapan bahawa tiada pihak luar mahu membantu sekolah atau pelajar bermasalah.

Sebaliknya, katanya, masalah sebenar ialah keengganan pihak tertentu menerima bantuan.

Beliau menegaskan keperluan menjalin kerjasama erat antara pembuat dasar dan pengamal lapangan termasuk pakar psikologi, kaunselor komuniti, dan penganalisis sosial.

“Kita perlukan mereka yang bersila di lapangan, bukan bersandar di kayangan,” katanya sinis.

Beliau turut mengingatkan bahawa budaya buli kini tidak hanya berlaku di kawasan sekolah, tetapi merebak di media sosial melalui rakaman video, ugutan maya, dan budaya ‘viral’ yang menjadikan penderitaan mangsa sebagai tontonan awam.

“Buli digital menyebabkan trauma lebih mendalam kerana ia tidak terhenti di pagar sekolah. Buli fizikal parutnya di muka namun buli digital parutnya di hati,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top