ACARA berbasikal Taiping 150 Ride yang pertama kali diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-150 Taiping serta Tahun Melawat Perak 2024 menarik lebih 1,700 peserta.
Majlis perasmian pelepasan disempurnakan Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh dengan acara bermula dan berakhir di Dataran Warisan Taiping.
“Taiping 150 Ride lebih daripada sekadar perlumbaan apabila meraikan warisan, perpaduan, dan kepelbagaian Taiping.
“Acara ini menyatukan pelbagai lapisan masyarakat, dari peserta berusia 7 hingga 77 tahun, untuk menghargai legasi 150 tahun Taiping.
“Selain turut mempromosikan Taiping sebagai destinasi kayuhan basikal yang menarik, dengan laluan-laluan yang menawarkan pemandangan indah dan cabaran sesuai untuk penggemar sukan ini,” katanya.
Kayuhan anjuran bersama Kelab Berbasikal Elit dan Gosportz Sdn Bhd dengan sokongan Pejabat Ahli Parlimen Taiping menawarkan tiga kategori.
Kategori perlumbaan iaitu 90km dan 60km untuk kategori kompetitif, serta kayuhan santai 20km, melalui beberapa kawasan merentasi kawasan luar bandar Perak, hingga ke Sepetang dan Kubu Gajah.
Program turut mendapat sokongan penaja termasuk Alliance Bank Malaysia Berhad, Perak Transit Berhad, Allianz Malaysia Berhad, Protech Sports, dan Menteri Besar Incorporated.
Selain itu, Majlis Perbandaran Taiping, Visit Perak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta Pejabat Daerah dan Tanah Larut, Matang dan Selama turut memainkan peranan memastikan kelancaran program.
Kah Woh yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata, acara tersebut juga bertujuan memberi inspirasi kepada generasi muda.
“Secara tidak langsung juga memperkenalkan sukan berbasikal kepada pelajar berusia 7 hingga 17 tahun.
“Dengan sokongan Kementerian Pendidikan, pelajar menyertai secara percuma dan memupuk semangat kekitaan dari usia muda,” ujar Kah Woh.
Keretapi Tanah Melayu (KTM) juga menjadikan sambutan lebih istimewa apabila menyediakan Koc Basikal Ekspres, membolehkan peserta dan basikal mereka untuk perjalanan ke acara tersebut.
Sementara itu, Pengarah Gosportz Sdn Bhd, Albert Leong berkata: “Menganjurkan acara komuniti di bandar warisan adalah satu pengalaman yang sangat menakjubkan, kami berharap dapat mencipta pengalaman baharu untuk semua penunggang.”
INFO
Pemenang Kategori 90km dan 60km
90km Lelaki Terbuka (Bawah 18 Tahun)
MUHAMAD IQBAL DANIEL MOHD NAWAWI (02:11:22s)
90km Wanita Terbuka (Bawah 18 Tahun)
GUAN JOO YOKE (02:14:18s)
90km Lelaki Veteran (Bawah 40 Tahun)
DAVE CHEAM DOW WEI (02:11:34s)
60km Lelaki Terbuka (Bawah 18 Tahun)
NG YONG LI (01:35:42s)
60km Wanita Terbuka (Bawah 18 Tahun)
REBECCA ONG (01:36:32s)
60km Lelaki Veteran (Bawah 40 Tahun)
MOHD ZUKRI TAHIR (01:35:54s)