Taiwan isytihar cuti sebagai persediaan hadapi Taufan Kong-rey

Taiwan isytihar cuti sebagai persediaan hadapi Taufan Kong-rey


Taipei: Semua bandar dan daerah di Taiwan mengisytiharkan cuti, manakala pasaran kewangan ditutup dan penerbangan domestik dibatalkan, sebagai persediaan menghadapi Taufan Kong-rey yang dijangka melanda negara itu, hari ini.

Taufan dijangka terburuk dalam tempoh 30 tahun itu diramalkan akan melanda kawasan pergunungan dan pantai timur yang kurang penduduk sekitar tengah hari, menurut Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan.

Dijangkakan, hujan akan berlaku di timur Taiwan dengan angin kencang sepanjang kawasan pantai, menurut pentadbiran.

Kementerian Pertahanan sudah mengerahkan 36,000 tentera supaya bersiap sedia bagi membantu usaha menyelamat, manakala 4,500 orang dipindahkan dari kawasan berisiko tinggi, lebih awal, kata kerajaan.

Taiwan Semiconductor Manufacturing Co, pembuat cip kontrak terbesar dunia dan pembekal utama kepada syarikat seperti Apple dan Nvidia berkata, ia mengaktifkan rutin prosedur penyediaan amaran taufan di semua kilang dan tapak pembinaannya.

“Kami tidak menjangkakan kesan ketara kepada operasi kami,” katanya dalam satu kenyataan e-mel.

Kerajaan memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi kawasan gunung dan pantai.

Taufan Kong-rey diramal akan melemah apabila ia melintasi bahagian tengah Taiwan, kemudian bergerak ke Selat Taiwan dan melanda China pada pagi 1 November.

Taiwan yang juga negara subtropika sering dilanda taufan. Kali terakhir, Taufan Krathon yang mengorbankan empat orang pada awal Oktober ketika ia melalui selatan pulau itu.

asia, Taiwan, Taipei, ribut taufan Kong-rey, xnstp, news

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top