Taja Manchester United lebih RM300 juta?

Taja Manchester United lebih RM300 juta?


SYARIKAT korporat tempatan yang berminat untuk menaja kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) termasuk nama besar seperti Manchester United mungkin perlu menyediakan dana sehingga AS$75 juta (RM333,105 juta) setahun.

Jumlah tersebut berdasarkan tajaan yang dibuat oleh salah satu penaja utama, Snapdragon yang mengikat kontrak dengan United selama lima tahun yang mencecah AS$375 juta (RM1.6 bilion).

Hasil tinjauan di laman internet mendapati tajaan tersebut melibatkan pasukan lelaki dan wanita United, selain akademi remaja kelab berkenaan.

Sebagai pulangan daripada pelaburan tersebut, logo dan nama Snapdrogan dipaparkan dalam saiz besar pada bahagian dada jersi untuk aksi tuan rumah di Old Trafford.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata, tanda harga tajaan melibatkan enam pasukan besar EPL dan kelab dalam kelompok bawahan adalah berbeza.

Menurutnya, nama besar di EPL melibatkan Manchester City, Liverpool, Arsenal, Tottenham Hotspur, Chelsea dan United.

“Big six dan ‘top six’ adalah berlainan. Enam pasukan besar ini sudah berada dalam status tersendiri dengan reputasi dan rekod pencapaian yang hebat.

“Top six pula melibatkan pasukan yang berada dalam kelompok enam terbaik carta semasa EPL. Ia seperti Liverpool, diikuti Arsenal, Nottingham Forest, Chelsea, City dan Newcastle,” katanya kepada Sukan Sinar.

Media pada Jumaat melaporkan jenama automotif tempatan, Perodua, tidak menolak kemungkinan akan tampil selaku penaja kepada United pada masa akan datang.

Pengerusinya, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata, Perodua sedang menilai beberapa bentuk penajaan, termasuk hak penamaan kepada baju dan perbincangan itu turut membabitkan strategi untuk meningkatkan kehadiran jenama tempatan di pasaran Eropah.

Effendi Jagan menjelaskan bahawa pasukan yang sebelum ini berada dalam kelompok bawahan, namun ketika ini melonjak ke tangga terbaik carta EPL juga mungkin meletakkan tanda harga yang lebih tinggi kepada penaja.

“Mungkin untuk musim akan datang Forest dan Newcastle boleh menaikkan nilai tajaan. Berdasarkan prestasi semasa mereka berada dalam kelompok enam terbaik,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya syarikat tempatan berminat untuk ‘bermain’ di EPL menerusi penajaan mungkin boleh bermula dengan tanda harga AS$10 juta (RM44 juta) setahun.

“Nama dan logo syarikat mungkin diletakkan di bahu, lengan, seluar atau bahagian belakang jersi dengan saiz tertentu bergantung kepada persetujuan kedua-dua belah pihak,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top