Tak berkecil hati, saya tak rasa disindir – Sophia Albarakbah

Tak berkecil hati, saya tak rasa disindir – Sophia Albarakbah


PUTRAJAYA: Pelakon popular, Sophia Albarakbah, mengakui tidak berkecil hati atau terasa disindir selepas gelagat di pentas Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

Suasana sewaktu penyampaian trofi kategori Selebriti Feminin Terhangat pada malam kemuncak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi menjadi tular apabila Sophia dan penyampai anugerah, Bella Astillah, dilihat janggal dan kurang mesra di atas pentas.

Namun, Sophia yang berusia 32 tahun menegaskan dia tidak melihat sebarang kejanggalan dalam situasi tersebut.

“Bagi saya semuanya baik-baik sahaja. Saya berada dalam industri yang sama dan lebih memilih untuk fokus kepada penghargaan ini.

“Terus-terang, saya masih terkejut kerana menang. Tak sangka nama saya yang diumumkan. Saya langsung tidak rasa disindir, mungkin itu cara Bella menyampaikan anugerah,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang media, malam tadi.

Selain itu, Sophia berkata, apa yang lebih utama buatnya adalah menerima pengiktirafan tersebut dan mengucapkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk berdiri sebaris dengan nama-nama besar industri hiburan tanah air.

Dalam pada itu, tumpuan malam berprestij tersebut turut terarah kepada Bella yang dikatakan cuba mengelak daripada ditemubual media.

Penyanyi itu, yang memenangi kategori Selebriti Couple Goals Terhangat bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, tidak muncul di bilik sidang media sebaliknya dilihat meninggalkan lokasi sebaik sahaja acara berakhir.

Tindakan Bella itu sekali gus menguatkan spekulasi dalam kalangan peminat mengenai kemungkinan wujud ketegangan antara kedua-dua selebriti berkenaan.

Untuk rekod, nama Sophia pernah menjadi bualan hangat pada awal 2023 selepas Bella mendakwa aktres berkenaan menjadi orang ketiga dalam rumah tangganya bersama penyanyi Aliff Aziz.

Bella ketika itu turut memuat naik tangkap layar mesej memaparkan permohonan maaf Sophia, yang berjanji untuk memperbetulkan keadaan berkaitan isu tersebut.

Rumah tangga Bella dan Aliff yang dibina sejak 2016 berakhir dengan perceraian talak satu buat kali kedua pada 13 Jun 2024. Pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata, Ayden Adrian dan Ara Adreanna.





Source link

OR

Scroll to Top