'Tak bincang pemecatan ketua pembangkang' – MP Bersatu

'Tak bincang pemecatan ketua pembangkang' – MP Bersatu


suzalina@bh.com.my

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen BERSATU menafikan dakwaan wujudnya perbincangan mengenai penukaran Ketua Pembangkang, dalam pertemuan dengan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di kediamannya, malam ini.

Ketika ditemui di perkarangan kediaman bekas Perdana Menteri itu, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan, berkata perkara terbabit tidak disentuh pada pertemuan malam ini yang turut dihadiri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Kami tak bincang pun mengenai pemecatan ketua pembangkang,” katanya.

Ketua Pembangkang kini dijawat oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga Timbalan Presiden BERSATU.

Terdahulu, terdapat laporan media bahawa pertemuan yang diadakan Muhyiddin bersama Ahli Parlimen BERSATU, malam ini adalah bagi membincangkan pelantikan Ketua Pembangkang baharu.

Selain Hamzah dan Kalam, 16 lagi Ahli Parlimen BERSATU yang hadir antaranya Datuk Dr Radzi Jidin (Putrajaya); Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (Langkawi).

Pada masa sama, Kalam berkata, dalam pertemuan itu, Ahli Parlimen BERSATU yang hadir turut menyatakan sokongan buat Muhyiddin.

“Kami sokong presiden dan bincang juga PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah,” katanya.

Perkarangan kediaman Muhyiddin juga kelihatan tenang, tanpa sebarang himpunan yang kononnya ingin diadakan bagi mempertahankan Hamzah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top