Penyerang bawah 23 tahun negara, Fergus Tierney melakukan asakan ke arah pintu gol lawan pada perlawanan pembukaan kempen Kejohanan Piala ASEAN B-23 2025 menentang Filipina di Stadium Gelora Bung Karno, pada Selasa. Foto Bernama
PENGENDALI skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain menegaskan Harimau Muda akan turun habis-habisan menentang Brunei dalam aksi kedua Kumpulan A Piala ASEAN B-23 pada Jumaat ini, selepas kekalahan mengejut kepada Filipina dalam perlawanan pembukaan.
Menurut Nafuzi, tempoh singkat sebelum perlawanan seterusnya amat penting untuk memperbaiki kelemahan pasukan, terutama di bahagian pertahanan dan serangan yang menjadi punca utama kekalahan 0-2 kepada Filipina.
“Kita tidak boleh terus kecewa. Kita kena baiki apa yang kurang dan pastikan menang bertemu Brunei,” katanya.
Dalam aksi menentang Filipina di Stadium Gelora Bung Karno pada Selasa, Malaysia gagal memanfaatkan deretan peluang terhidang selain dihukum dua kali menerusi serangan balas pantas lawan.
Kekalahan itu menyaksikan Harimau Muda kini berada di tangga ketiga kumpulan, di belakang Filipina dan pendahulu serta tuan rumah Indonesia yang menewaskan Brunei 8-0.
Nafuzi bagaimanapun enggan menyalahkan pemain dan tetap memuji semangat juang mereka.
“Saya bangga dengan sikap mereka yang tidak berputus asa.
“Kita hanya kurang penyudah, tapi tetap akan mencuba dan perbaiki dalam perlawanan seterusnya,” katanya.