Tak digalak guna khidmat 'Coach Cerai'

Tak digalak guna khidmat 'Coach Cerai'


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasangan suami isteri dalam kalangan umat Islam dinasihat untuk mendapatkan nasihat perkahwinan melalui pihak berkuasa yang sah dan bukannya menggunakan Coach Cerai kerana ia berisiko memberikan nasihat tersasar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, ini kerana nasihat yang tidak bersandarkan syariat, bukan saja mengelirukan, malah berpotensi merosakkan rumah tangga.

Isu Coach Cerai memberikan pengajaran bahawa sebarang nasihat berkaitan dengan perkahwinan dan perceraian perlulah melalui pendekatan ilmu, kefahaman, bimbingan dan tidak dilupakan authority yang jelas.

Rundingan yang adil perlu diambil sebelum apa-apa tindakan diteruskan, katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) yang meminta kerajaan menyatakan tindakan tegas kerajaan khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap kewujudan perkhidmatan Coach Cerai yang akan menormalisasikan perceraian, sekali gus meruntuhkan institusi kekeluargaan.

Pada masa sama, Marhamah menegaskan, penggunaan istilah dan pendekatan berkaitan kekeluargaan Islam yang mengelirukan seperti Coach Cerai perlu dikawal bagi memastikan kefahaman masyarakat tidak tersasar.

Beliau berkata, ia penting bagi mengelakkan kegusaran awam khususnya dalam menyalurkan ilmu, kefahaman dan bimbingan yang sah.

Kerajaan MADANI melalui JAKIM sangat memandang serius terhadap isu Coach Cerai yang tular baru-baru ini berikutan dengan perceraian pasangan selebriti yang mana ia menyentuh urusan pentadbiran hal Islam khususnya berkaitan dengan perkahwinan orang Islam.

Ia sepatutnya perlu dirujuk dan ditangani oleh pihak berautoriti yang sah mengikut peruntukan undang-undang dan hukum syara berikutan dengan isu ini, katanya.

Sebelum ini, tindakan pelakon, Uqasha Senrose menggunakan perkhidmatan Coach Cerai dalam menyelesaikan kemelut perkahwinannya bersama Kamal Adli dipertikaikan ramai pihak.

Ketika itu, Kamal Adli menuntut Uqasha tampil bersemuka dengannya bagi menyelesaikan segala perselisihan, berbanding menyebarkan perkara peribadi mereka di media sosial dan kenalan luar.

Kamal turut menuntut individu dikenali sebagai Coach Cerai supaya berlaku adil dengan mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak, dan bukan hanya sebelah pihak sahaja.

Namun individu yang bergelar Coach Cerai itu mendakwa menjalankan tugas untuk memberi bimbingan selepas perceraian termasuk prosesnya berdasarkan keperluan semasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top