Beberapa kejayaan di pentas domestik menjadi sandaran Bunga Raya 7s B-20 apabila membuka kempen Kumpulan B Ragbi Asia 7s B-20 di Bihar, India. Foto: Kesatuan Ragbi Malaysia
SKUAD ragbi tujuh sebelah lelaki (7s) Bawah 20 Tahun (B-20) negara meletakkan sasaran mara ke pentas final pada kejuaraan Ragbi Asia 7s B-20 di Bihar, India pada 9 dan 10 Ogos ini.
Pengendali Bunga Raya 7s B-20, Syed Shazril Syed Mahadzir berkata, sasaran itu dianggap realistik berdasarkan kekuatan barisan pemain negara yang terdiri daripada pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).
“Alhamdulillah, jika dilihat pada undian, China dilihat sebagai pencabar utama kumpulan. Bagaimanapun, kami tidak akan memandang ringan cabaran Kazakhstan dan Uzbekistan yang memiliki kelebihan tersendiri dari segi fizikal.
“Skuad Bunga Raya B-20 akan berikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan. Kami perlu fokus satu perlawanan demi satu,” katanya kepada Sukan Sinar.
Malaysia sebelum itu diundi dalam Kumpulan B bersama Kazakhstan, China dan Uzbekistan.
Untuk rekod, skuad Bunga Raya B-20 muncul naib juara edisi 2023 di Kathmandu, Nepal, manakala juara bertahan, Hong Kong, berada dalam Kumpulan A bersama tuan rumah India, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Sri Lanka.
Menurut Syed Shazril, sasaran awal adalah melepasi saingan peringkat kumpulan dan mara ke separuh akhir, namun impian utama pasukan adalah melangkah ke perlawanan akhir.
“Lolos ke separuh akhir adalah matlamat utama, tetapi kami berimpian untuk mara ke final. Ini hasrat bersama seluruh pasukan,” katanya.
Tambahnya, skuad negara turut menerima sentuhan taktikal dan motivasi daripada bekas ketua jurulatih Bunga Raya 7s, Saizul Hafifi, yang membantu memperkemas aspek persiapan fizikal, mental dan emosi pemain.
“Keserasian antara pemain menjadi kekuatan utama pasukan ini kerana mereka datang daripada SSTMI dan sudah lama bermain bersama.
“Gabungan ini terbukti apabila kami muncul juara Perlis 7s selepas menewaskan Sekolah Sukan Malaysia Pahang dan menewaskan pasukan Sukma Kedah di Kelantan 7s,” katanya.