Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menzahirkan rasa syukur apabila diberi peluang kedua untuk kembali semula bergabung bersama kepimpinan parti dan memohon agar keahliannya dalam United Malays National Organisation (UMNO) diaktifkan semula.
Cukup jadi anak kapal biasa

Menerusi hantaran di Facebook, Khairy berkata beliau bersyukur kerana dapat sekali lagi berkhidmat dalam perjuangan demi agama, bangsa dan negara.
Menurutnya, beliau juga menghargai kesediaan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menerima kunjungannya dalam semangat ‘Rumah Bangsa’ dalam bulan yang mulia ini.
“Dengan jiwa besar Presiden, beliau telah menerima saya kembali ke rumah lama saya, satu-satunya rumah yang saya kenali,” tulisnya.
Khairy turut memaklumkan bahawa beliau telah secara rasmi memohon agar pemecatan keahliannya daripada UMNO dibatalkan serta nombor keahlian asalnya diaktifkan semula.
Beliau berharap Presiden UMNO, Majlis Tertinggi parti serta Jawatankuasa Rumah Bangsa dapat mempertimbangkan permohonannya dengan sewajarnya.

“Saya menghargai keterbukaan dan kebesaran hati beliau dalam membuka ruang untuk kita melangkah ke hadapan demi memperkukuh perjuangan parti.
“Atas semangat Rumah Bangsa, saya telah secara rasminya memohon agar pemecatan keahlian saya dari UMNO dibatalkan dan nombor keahlian asal saya diaktifkan semula. Saya harap Presiden UMNO, Majlis Tertinggi UMNO dan Jawatankuasa Rumah Bangsa dapat mempertimbangkan hasrat saya dengan sewajarnya,” jelasnya.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan bahawa situasi politik negara ketika ini memerlukan UMNO diperkukuhkan sebagai wadah penyatuan bangsa Melayu dan pembangunan negara untuk seluruh rakyat Malaysia.
Khairy turut menegaskan bahawa permohonannya untuk kembali ke parti itu tidak disertai sebarang syarat atau kepentingan peribadi.
“Di saat politik tanah air berdepan dengan ketidaktentuan dan lautan bergelora, sangat penting bahtera perjuangan bangsa – UMNO – yang ditubuhkan untuk menyatukan orang Melayu dan membangunkan negara untuk seluruh rakyat Malaysia diperkuatkan
“Saya tidak minta kembali kepada bahtera bangsa ini dengan apa-apa syarat, hajat peribadi atau permintaan. Cukuplah untuk saya diberi peluang untuk menjadi seorang anak kapal biasa,” kongsinya.
Beliau menambah, sekiranya diberi peluang kembali, beliau bersedia membantu memperkukuh parti demi memastikan “bahtera perjuangan bangsa” itu terus berlayar meredah cabaran zaman.

“Jika ada papan yang longgar, saya akan membantu mengetatkannya. Jika ada paku yang perlu dipalu, saya akan bantu memalunya. Jika ada palka yang perlu ditutup rapat agar air tidak masuk, saya akan pastikan ia terkunci kemas.
“Yang penting, bahtera bangsa ini terus berlayar meredah ombak dan badai zaman, membawa bersama harapan besar: penyatuan sebuah bangsa yang bersatu, teguh dan bermaruah.
Khairy mengakhiri kenyataannya dengan harapan agar UMNO terus membawa aspirasi penyatuan bangsa yang teguh dan bermaruah.
Sumber: Facebook Khairy Jamaluddin






