Tonggak import JDT Jonathan Cristian Silva (kanan) diasak dua pemain Kuching City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching
PERSEMBAHAN kurang meyakinkan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada awal musim ini tidak akan berpanjangan apabila kelab gergasi tanah air itu diyakini mampu bangkit semula dalam masa terdekat.
Pemerhati sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli menegaskan, masih terlalu awal untuk menilai prestasi juara 11 kali berturut-turut Liga Super itu, apatah lagi saingan musim baharu baru sahaja bermula.
Menurutnya, proses transisi yang sebelum ini dijelaskan oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail dilihat akan memastikan kelab elit itu kembali ketahap sebenar permainan mereka.
“Kalau dibandingkan dengan musim lalu memang nampak ada sedikit perbezaan, tetapi terlalu awal untuk kita membuat kesimpulan.
“Prestasi pasukan tidak boleh diukur hanya berdasarkan beberapa perlawanan awal, sebaliknya dinilai daripada kemampuan mereka mengekalkan kejuaraan.
“Saya tidak nampak kemerosotan ini akan berpanjangan. Saya yakin JDT akan bekerja keras untuk kembali pada tahap sebenar mereka, malah mungkin lebih kuat.
“Situasi ini juga bukan sesuatu yang JDT inginkan. Mereka tidak akan membiarkan kelemahan ini berlarutan kerana kita tahu JDT bukan kelab yang rela diperlekehkan,” katanya kepada Sukan Sinar.
JDT memulakan saingan Liga Super musim ini dengan corak permainan yang agak hambar berbanding musim-musim sebelumnya.
Meskipun berjaya mengekalkan rekod kemenangan dalam tiga perlawanan awal, termasuk menewaskan Kuching City FC 1-0 pada Ahad lalu, prestasi mereka tetap menjadi perhatian kerana dianggap kurang garang.
Malah, dalam kemenangan di Stadium Negeri Sarawak itu, Harimau Selatan terpaksa bergelut walaupun pasukan tuan rumah bermain dengan 10 pemain seawal separuh masa kedua.
Pekan juga berpandangan, JDT masih lagi berada satu tahap lebih tinggi berbanding pasukan lain walaupun dalam keadaan mereka sedang menghadapi perubahan besar dalam pasukan.
“Masih lagi JDT boleh dianggap berada pada kelas mereka yang tersendiri.
“Tetapi, cuma yang bagusnya bila situasi ini berlaku ia mungkin meningkatkan keyakinan dan semangat kepada pasukan-pasukan lain untuk memberikan cabaran. Itu sangat bagus untuk liga kita,” katanya.
Cabaran lebih besar akan dihadapi skuad kendalian Xesco Munoz itu apabila akan membuka tirai Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Buriram United pada 16 September.






