Tak perlu gaduh, rebut anak – Emma Maembong

Tak perlu gaduh, rebut anak – Emma Maembong


KUALA LUMPUR: Pelakon, Emma Maembong memaklumkan hubungannya dengan bekas suami, Shazli Azhar, kekal baik meskipun mereka bukan lagi suami isteri.

Kata Emma, keputusan itu dibuat untuk kebaikan anak-anak mereka, Shariq Gabriel dan Shakil Aryan yang masih memerlukan kasih sayang dan perhatian dari mereka.

“Kami berpisah cara baik, tidak bergaduh. Saya dan bekas suami sebelum bercerai cuba perbaiki hubungan, tetapi jodoh kami tak panjang. Tapi perceraian ini bukanlah penamat segalanya.

“Saya tak perlu jelaskan kenapa kami masih berbaik. Persoalannya, kenapa perlu bergaduh? Bukankah anak-anak terseksa kalau hubungan kami tidak baik?

“Anak-anak membesar dan mereka perlukan kasih saya ibu dan ayah mereka. Bagi mereka, ibu ayah adalah wira mereka.

“Jadi pada saya, walaupun kami bercerai, tak perlulah kami bergaduh dan rebutkan hak penjagaan anak. Saya tak mahu sakit hati atau berdendam. Hujungnya, anak-anak yang jadi mangsa,” katanya ketika malam gala filem Jangan Pandang Belakang 2, semalam.

Emma, mengejutkan peminat apabila pada Oktober lepas mendedahkan sudah bercerai dan telah tamat tempoh idah.

Pelakon berusia 32 tahun itu bagaimanapun mengunci mulut mengenai punca perceraian itu.

Disoal tentang keputusan untuk berkongsi soal perceraian kepada umum, Emma berkata tindakan berkenaan adalah untuk mengelakkan fitnah.

“Kalau boleh, saya tak mahu kongsi. Tapi perlu umumkan untuk elak fitnah.

“Saya telah berbincang dengan bekas suami sebelum maklumkan status rumah tangga kami kepada umum.

“Pada saya, maklumkan atau tidak, tetap ada pihak yang akan tambah cerita. Jadi kami buat keputusan untuk kongsikan perkara yang perlu sahaja. Tak guna berlebih-lebih membuka cerita,” ujarnya.

Ditanya mengenai ruang untuk dia dan Shazli kembali bergelar suami isteri, Emma menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Allah S.W.T.

“Kami dah cukup matang melalui perpisahan ini. Kalau untuk kembali bersama, saya tak tahu. Jodoh Tuhan yang tentukan.

“Apa pun saya tak mahu komen lebih. Cukup sekadar umum tahu saya gembira dengan hubungan saya dan bekas suami yang masih baik, sama-sama membesarkan anak-anak kami,” jelasnya.





Source link

OR

Scroll to Top