Tak perlu heret Sanusi, tarik balik penggantungan, kita berdebat – Wan Ahmad Fayhsal

Tak perlu heret Sanusi, tarik balik penggantungan, kita berdebat – Wan Ahmad Fayhsal


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sedia untuk berdebat dengan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari di Dewan Rakyat.

Jelasnya, pelawaan Dr Taufiq kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak releven kerana Menteri Besar Kedah itu bukannya seorang ahli Parlimen.

“Tak perlu heret Datuk Seri Sanusi ke Dewan Rakyat. Dia bukan Ahli Dewan Rakyat!

“Kamu (Dr Taufiq) minta Speaker (Tan Sri Johari Abdul) luluskan usul untuk tarik balik penggantungan saya untuk kita berentap dalam Dewan Rakyat untuk debat dan bahas permasalahan yang dibangkitkan oleh DUN Kedah ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pelawaan itu setelah Taufiq mencabar Sanusi untuk ‘berlawan’ di gelanggang Dewan Rakyat.

Ia susulan tindakan Sanusi mencabar Menteri Pendidikan dan Pengarah Pendidikan Kedah untuk ‘berlawan’ di gelanggang Dewan Undangan Negeri (DUN) berkaitan isu politik kepartian dalam sistem pendidikan.

Dr Taufiq menegaskan, tindakan ADUN Jeneri itu amat tidak profesional dan berbaur fitnah.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata isu yang dibawa Sanuni adalah lebih besar dan sepatutnya dibahaskan di Dewan Rakyat.

“Ianya benda yang benar, bukan saja di Kedah tapi di semua tempat dan kawasan Pembangkang. Akhirnya yang rugi adalah warga pendidik, para pelajar.

“Kalau kalian jujur dan ikhlas mahu majukan pendidikan negara libatkan kami secara adil, bukan guna “Little Napoleon” di Jabatan Pendidikan Negeri dan Daerah untuk gertak dan halang para guru, pelajar, ibu bapa dan usaha kami dalam membantu mendidik anak bangsa di kawasan yang kami sendiri menang dan dipilih secara sah oleh mereka!

“Jangan politikkan sistem pendidikan negara dengan semangat kepartian,” katanya lagi.

Pada Isnin, dalam persidangan DUN Kedah, Sanusi melahirkan rasa kecewa terhadap Kementerian Pendidikan, Menteri Pendidikan dan Pengarah Pendidikan Kedah yang didakwa melaksanakan agenda politik kepartian.

Menurutnya, kepimpinan negeri dihalang daripada memasuki kawasan sekolah mahupun menjalin kerjasama dalam program berkaitan pendidikan, sedangkan berlaku sebaliknya membabitkan pemimpin Kerajaan Perpaduan.

Sebelum itu, Exco Pendidikan Kedah, Datuk Mohd Azam Abd Samat mendedahkan, Program Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPas) dianjurkan kerajaan negeri tidak mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan tidak membenarkan guru dan pengetua menyertainya.

Bulan lalu, Wan Ahmad Fayhsal digantung selama 6 bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Ia susulan dakwaannya mengenai surat layang yang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Usul itu terdahulu dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang diluluskan melalui undi belah bahagi.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ketika mengumumkan keputusan itu memaklumkan, seramai 110 Ahli Parlimen bersetuju, manakala 63 tidak bersetuju dengan usul berkenaan selepas ia dibahaskan oleh beberapa Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top