Penyanyi rock tersohor, Datuk Awie merendah diri apabila menegaskan gelaran ‘Raja Rock’ Malaysia bukan miliknya, sebaliknya kekal milik Datuk Amy Search.
Bagi Awie, sumbangan besar Amy yang dianggap sebagai pelopor irama rock di negara ini sudah cukup untuk mengangkat legenda itu sebagai figura nombor satu, malah layak digelar ‘Godfather’ dalam industri berkenaan.
“Saya tetap menghormati yang memegang gelaran nombor satu Malaysia (Raja Rock) adalah Amy Search. Dia yang pertama memulakan irama rock di negara kita, itu yang patut kita angkat sebagai ‘Godfather,” katanya.
Awie berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert Awie Rock King: The Last Man Standing di Hotel Premiera, di sini, Isnin.

Mengulas dakwaan yang sering mengangkatnya sebagai antara figura utama rock negara, vokalis kumpulan Wings itu menegaskan dia tidak pernah mengejar gelaran, sebaliknya lebih mementingkan kualiti persembahan.
“Soal gelaran ini saya tidak kisah. Itu bukan tujuan saya. Saya tak kejar title.
“Apa yang saya mahu adalah beri kepuasan kepada peminat melalui pengalaman dan kebolehan yang saya ada. Setiap persembahan itu saya nak mereka rasa puas,” ujarnya.
Tambah Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 58, kedudukan dalam industri biarlah dinilai oleh peminat, bukan sesuatu yang perlu dipertikaikan dalam kalangan penggiat seni.
“Siapa nak nombor satu, dua atau tiga, ambillah. Bagi saya, yang penting adalah apa yang kita beri di atas pentas,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Awie bakal menggegarkan pentas menerusi konsert Awie Rock King: The Last Man Standing yang dijadual berlangsung di Stadium Merdeka pada 12 September ini.
Konsert anjuran Bombbay Legend Worldwide bersama Ultimate Media itu dijangka menjadi persembahan solo epik yang menghimpunkan perjalanan lebih empat dekad kerjaya seni Awie.
Awie berharap konsert berkenaan bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi medan meraikan legasi muzik rock agar terus hidup dan relevan dalam kalangan generasi baharu.





