Tak sabar nak mendulang emas

Tak sabar nak mendulang emas


am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Teruja menjadi penerima pertama lesen mendulang emas, seorang pengusaha tapak perkhemahan (glamping) tidak sabar untuk memulakan aktiviti itu.

Ahmad Fauzan Mohd Zain, 48, berkata, dia menyerahkan borang permohonan pada 1 Januari lalu dan semalam dihubungi wakil dari Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan untuk hadir mengambil lesen terbabit.

“Sebelum ini pernah mendulang emas secara suka-suka dan sekadar mencuba tapi apabila sudah menerima lesen hari ini, saya akan cuba meluangkan lebih masa untuk aktiviti itu.

“Esok saya akan ke kawasan yang digazetkan dan lesen yang saya mohon adalah di daerah Jeli iaitu sekitar dua kilometer (km) membabitkan Sungai Pergau serta Sungai Taduh,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ahmad Fauzan yang tinggal di Kota Bharu berkata, dia berulang alik ke Jeli kerana mengusahakan tapak perkhemahan di Lata Kashmir, Jeli dan selepas ini mungkin akan menetap lebih lama di lokasi itu untuk mempraktikkan aktiviti mendulang emas.

Seorang lagi penerima lesen mendulang emas, Mohd Zulkifli Ramli, 45, berkata, dia akan ke Tanah Merah hari ini juga untuk melihat kawasan yang digazetkan di sekitar Sungai Bertam.

Dia yang terbabit dalam industri jualbeli emas membuat permohonan lesen mendulang untuk melihat secara menyeluruh mengenai proses penghasilan emas yang bermula dari aktiviti mendulang.

“Saya sangat faham mengenai hal berkaitan emas dan kebenaran memiliki lesen mendulang emas menjadi peluang untuk saya lebih mengetahui proses penghasilan bermula dari tanah (mendulang),” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Mineral) Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kelantan, Muhammad Zeinnihaqim Mohd Yusoff berkata, sebanyak 20 lesen sudah diluluskan dan penerima mula datang ke PTG untuk mendapatkan lesen masing-masing.

“PTG menerima 229 permohonan yang sudah mendaftar serta selesai pembayaran dan sehingga kini masih ada yang datang untuk memohon lesen dengan puratanya 10 orang setiap hari.

“Untuk aktiviti mendulang emas pula, papan tanda berkaitan prosedur operasi standard (SOP) akan dipasang di kawasan yang digazetkan membabitkan lima sungai di empat daerah iaitu Sungai Pergau dan Taduh di Jeli; Sungai Galas (Gua Musang); Sungai Jentiang (Kuala Krai) serta Sungai Bertam (Tanah Merah) dalam masa terdekat.

“Antara yang disenaraikan ialah aktiviti mendulang emas tidak boleh menggunakan sebarang jentera dan waktu yang ditetapkan bermula jam 8 pagi hingga 6 petang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top