‘Tak salah bawa masuk lebih ramai pemain warisan perkuat Harimau Malaya’

‘Tak salah bawa masuk lebih ramai pemain warisan perkuat Harimau Malaya’


LEGENDA bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menyifatkan tiada sebarang isu jika Harimau Malaya terus merekrut pemain warisan bagi memperkukuh skuad kebangsaan, terutama dalam misi melangkah lebih jauh ke pentas antarabangsa.

Menurutnya, penampilan lebih ramai pemain warisan bukan sahaja mampu memberi impak besar terhadap prestasi pasukan, malah berpotensi mencerahkan peluang Malaysia untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia 2027 serta misi lebih besar ke Piala Dunia 2030.

Beliau turut menyifatkan kejayaan menundukkan Vietnam dengan wajah baharu Harimau Malaya yang dibarisi pemain warisan berkualiti meletakkan pasukan di landasan kukuh untuk menyinar, dan penambahan beberapa pemain warisan akan memastikan skuad negara terus menjadi sebuah pasukan berdaya saing.

Pemain-pemain Harimau Malaya ketika berdepan Vietnam pada 10 Jun lalu. Foto Malaysia NT

“Saya tak nampak masalah kalau kita ada lebih ramai pemain warisan. Ini demi kebaikan bola sepak negara. Kita bukan sahaja nak bersaing di pentas Asia tetapi impian sebenar ialah nak jejak kaki ke Piala Dunia.

“Untuk Piala Asia 2027, peluang kita cerah dan sekarang usaha juga perlu ditumpukan untuk cuba ke Piala Dunia 2030, lima tahun lagi.

“Kita perlu realistik dan mula sekarang dengan pemain warisan terbaik agar kita dapat menyaingi pasukan Arab, Australia, Jepun dan Korea Selatan. Jika kita dapat saingi mereka, maka jalan ke Piala Dunia itu cerah.

“Lagipun yang mewakili negara ini merupakan pemain warisan yang mempunyai darah Malaysia. Jadi, tidak ada salahnya untuk kita mengharapkan kepada kemampuan mereka,” katanya kepada Sukan Sinar.

Sebelum ini, skuad negara diperkuat dengan kehadiran pemain warisan baharu iaitu Gabriel Palmero, Hector Hevel, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca dan Facundo Garces.

Kehadiran kesemua pemain warisan ini membawa impak segera apabila Malaysia berjaya memecah badi 11 tahun tanpa kemenangan ke atas Vietnam apabila menundukkan pasukan itu 4-0 dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.

Timbul cakap-cakap bahawa beberapa pemain warisan baharu ‘gred A’ lagi akan turut serta menyarung jersi pasukan kebangsaan sekali gus memberikan nilai tambah terbaik, namun masih belum ada pengesahan daripada pengurusan Harimau Malaya atau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Dalam pada itu, Jamal Nasir tidak menafikan kepentingan pemain tempatan dalam skuad kebangsaan, namun percaya mereka masih belum sampai ke tahap yang mampu bersaing di pentas dunia.

Beliau berkata, dalam tempoh sekarang, harapan disandarkan kepada pemain warisan tetapi tidak meminggirkan usaha ke arah melahirkan pemain tempatan berkualiti.

“Sebab itu, dalam tempoh lima tahun akan datang, kita perlu membentuk lebih ramai pemain muda tempatan yang bagus dan mampu bersaing. Mereka pun sudah tentu akan mahu mengikuti kualiti dimiliki pemain warisan.

“Ia akan menjadi pembakar semangat dan azam mereka untuk berjaya menembusi pasukan negara,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top