Tak salah jual minyak wangi, tapi elak promosi cetus fitnah

Tak salah jual minyak wangi, tapi elak promosi cetus fitnah


BAYANGKAN seorang wanita menyembur minyak wangi pada tubuhnya, kemudian melangkah keluar dan menarik perhatian lelaki yang melintas kerana tertarik dengan haruman tersebut.

Lebih membimbangkan, ada pula yang berkongsi testimoni secara terbuka di media sosial, kononnya lelaki memuji atau menghampiri mereka hanya kerana bauan yang dipakai.

Jika dilihat sekilas lalu, iklan seperti itu kelihatan remeh dan biasa sahaja dalam masyarakat. Namun hakikatnya, taktik promosi sebegitu jelas bertentangan dengan syariat Islam.

Menyentuh fenomena itu, pendakwah terkemuka, Ustazah Asma’ Harun menjelaskan, trend promosi minyak wangi yang menggunakan pendekatan ‘eksperimen sosial’ sebagaimana contoh yang diberikan amat membimbangkan dari sudut pandangan agama.

USTAZAH ASMA’

Menurutnya, reaksi lelaki berpaling atau memandang wanita akibat tertarik dengan bau haruman dijadikan sebagai bukti keberkesanan produk, sekali gus mendorong kepada pemasaran yang tidak menghiraukan batas syarak.

“Perasan atau tidak, semakin ramai peniaga minyak wangi, sama ada lelaki mahupun wanita menggunakan kandungan berbentuk ‘eksperimen sosial’ sebegitu. Na’uzubillahi min zalik,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video bertajuk ‘Minyak wangi perhiasan atau pencetus fitnah?’ yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.

Lebih menggusarkan, ujar beliau, promosi sedemikian seolah-olah menghalalkan matlamat dengan mengorbankan prinsip agama.

Sedangkan, katanya, ada hadis Nabi Muhammad SAW yang jelas melarang perbuatan daripada wanita memakai wangian yang mampu menarik perhatian lelaki, bahkan perbuatan itu dikaitkan dengan zina.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Mana-mana perempuan yang mengenakan wangian dan berjalan melewati satu kaum dan didapati bau daripadanya, maka perempuan itu ialah penzina.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan An-Nasa’i)

“Para ulama menjelaskan bahawa maksud ‘wanita penzina’ dalam konteks hadis tersebut merujuk kepada situasi di mana seorang lelaki tertarik kepada wanita disebabkan haruman yang dipakainya, lalu dia mencari-cari puncanya dengan memalingkan wajah dan memandang ke arah wanita tersebut.

REAKSI lelaki berpaling atau memandang wanita akibat tertarik dengan bau haruman dijadikan sebagai bukti keberkesanan produk, mendorong kepada pemasaran yang tidak menghiraukan batas syarak. -Foto: CANVA

REAKSI lelaki berpaling atau memandang wanita akibat tertarik dengan bau haruman dijadikan sebagai bukti keberkesanan produk, mendorong kepada pemasaran yang tidak menghiraukan batas syarak. -Foto: CANVA

“Maka setiap pandangan yang lahir daripada tarikan itu dikira sebagai zina mata,” ungkapnya.

Jelas penceramah tersohor itu lagi, perbuatan sedemikian juga merupakan antara bentuk mukadimah zina yang dimulakan menerusi pancaindera termasuk mata dan hidung.

Malah, pemakaian wangian secara berlebihan hingga mampu menarik perhatian ajnabi merupakan antara lorong yang membuka kepada pintu zina.

“Setiap mata itu berzina, lidah berzina, tangan berzina, kaki juga berzina dan akhirnya kemaluanlah yang membenarkan penzinaan sampai peringkat zina yang benar,” terangnya.

Kepada para peniaga Muslim, Ustazah Asma’ mengingatkan bahawa berniaga minyak wangi tidak salah, namun promosi mestilah dilakukan dengan cara yang tidak melanggar syariat.

“Ingatlah, perniagaan yang menguntungkan dunia hingga mengabaikan hal-hal akhirat dan syariat ALLAH adalah satu perniagaan yang rugi.

“Walaupun zahirnya nampak untung, jualan tinggi dan laris, tapi hakikatnya dia sedang merugikan diri sendiri di dunia dan juga akhirat,” katanya.

WANITA tidak dilarang sepenuhnya memakai minyak wangi, tetapi penggunaannya mestilah terkawal iaitu tidak berbau kuat, dipakai secara minimum dan hanya untuk tujuan kebersihan diri atau menghilangkan bau badan. -Foto: CANVA

WANITA tidak dilarang sepenuhnya memakai minyak wangi, tetapi penggunaannya mestilah terkawal iaitu tidak berbau kuat, dipakai secara minimum dan hanya untuk tujuan kebersihan diri atau menghilangkan bau badan. -Foto: CANVA

Bagi mereka yang pernah mempromosikan produk dengan cara yang melanggar hukum agama, pendakwah itu menasihatkan agar segera bertaubat.

“Boleh jadi (mereka buat begitu) sebab jahil, tak tahu yang kandungan sebegitu tidak dibenarkan dalam Islam,” ujarnya.

Pada masa sama, Ustazah Asma’ menjelaskan bahawa wanita tidaklah dilarang sepenuhnya daripada memakai minyak wangi.

Namun, penggunaannya mestilah terkawal iaitu tidak berbau kuat, dipakai secara minimum dan hanya untuk tujuan kebersihan diri atau menghilangkan bau badan.

“Kadang-kadang deodoran pun ada wangian, kan? Ataupun selepas mandi, kita pakai pada tubuh badan, bukan pada pakaian.

“Masa itu, kita boleh tanya orang sebelah, ‘Ada bau tak? Kuat tak baunya?’ Kalau tak ada, itu okey sebab memang untuk diri sendiri bagi mengelakkan bau yang tidak selesa,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top