'Tak sampao setengah jam air naik hingga paras pinggang saya'

'Tak sampao setengah jam air naik hingga paras pinggang saya'



farid_noh@bh.com.my

Kota Tinggi: “Air naik terlalu pantas sehingga saya dan isteri tidak sempat menyelamatkan apa-apa perabot dan peralatan elektrik kerana terpaksa menyelamatkan diri, ” kata seorang penduduk Taman Aman, di sini.

Rozi Kassim, 40, berkata ketika kejadian banjir berlaku beliau dan isteri baharu pulang ke rumah selepas selesai bekerja, petang semalam.

“Ketika itu memang hujan lebat dengan kami suami isteri sedang berehat di ruang tamu sebelum tersedar air mulai memasuki rumah kira-kira jam 7 malam.

“Air naik terlalu pantas dalam tempoh tidak sampai setengah jam air sudah naik paras pinggang saya menyebabkan kami memutuskan untuk menyelamatkan diri.

“Ia menyebabkan semua perabot dan barangan elektrik termasuk peti sejuk dan mesin basuh di tingkat bawah tidak sempat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mangsa banjir negeri ini dilaporkan melonjak kepada 897 penduduk daripada 303 keluarga yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Tinggi, setakat jam 8 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata hujan lebat berterusan sejak 24 jam lalu menyebabkan mangsa banjir negeri ini dijangka terus bertambah dengan jangkaan banjir di kawasan rendah di beberapa daerah lain.

Dalam pada itu, Farah Syuhada Selamat, 33, yang tinggal di Taman Kota Kecil, di sini, berkata air bah memasuki kediamannya ketika beliau dan keluarga sedang menikmati makan malam.

Katanya, beliau terkejut apabila kakinya mula terasa air memasuki rumah sebelum segera menyelamatkan barangan penting terutama buku sekolah anak selain barangan elektrik bersama suaminya.

“Air banjir kali ini sangat laju kerana dalam masa beberapa minit sahaja dah naik tinggi menyebabkan suami serta jiran menyelamatkan kenderaan ke lokasi lebih tinggi.

“Kami sebelum ini sudah bersedia mengemas barangan berikutan tahun lalu banjir juga, tetapi tidak teruk. Kali ini teruk sedikit kerana paras air sehingga lebih paras pinggang.

“Apabila air banjir makin tinggi, saya dan suami membawa anak untuk menyelamatkan diri ke PPS bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top