am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Walaupun reda, penyanyi, Ali XPDC terkejut dan tidak menyangka isterinya, Sharifah Azuwanna Syed Joned, 53, akan pergi secepat ini.
Ali ketika dihubungi berkata, dia memang sudah diberitahu doktor mengenai kanser payudara yang dihidapi isterinya itu.
“Saya tahu isteri disahkan menghidap kanser payudara tetapi tidak tahu tahap berapa.
“Tapi saya sangat sedih dan terkejut isteri akan pergi meninggalkan saya secepat ini.
“Maaf saya tak dapat komen lebih lanjut dengan keadaan saya pun baru keluar dari hospital. Boleh hubungi anak sulung saya, Aqiel,” katanya kepada Harian Metro.
Sharifah Azuwanna meninggal dunia akibat kanser payudara pada jam 6.08 petang hari ini di Hospital Putrajaya.
Jenazah Sharifah Azuwanna disolatkan di Masjid Bandar Baru Salak Tinggi selepas solat Isyak dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Baru Salak Tinggi malam ini.
Selain ahli keluarga terdekat dan teman rapat, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menziarahi jenazah di hospital berkenaan.
Terdahulu, Ali dimasukkan ke Hospital Cyberjaya untuk menerima rawatan paru-paru berair dan jantung lemah sejak 24 Mac lalu, manakala isterinya, Sharifah Azuwanna pula dirawat di Hospital Putrajaya kerana kanser payudara.
Bagaimanapun, Ali sudah dibenarkan keluar dari wad sejak Khamis lalu dan kini berehat di rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd