Tak Sangka! Kampung Sungai Betul Kini Jadi Tumpuan

Tak Sangka! Kampung Sungai Betul Kini Jadi Tumpuan


Baru-baru ini Min sempat singgah ke Kampung Sungai Betul, Bagan Datuk, Perak. Jangan tak tahu, di hujung perairan Bagan Datuk ni tersembunyi sebuah kampung yang dulunya sunyi dan damai… tapi sekarang dah mula mencuri perhatian orang luar! Nak tahu sebabnya? Teruskan baca sampai habis artikel ni.

Pekan Bagan Datuk – nadi kehidupan setempat sebelum meneruskan perjalanan ke Kampung Sungai Betul.

Untuk pengetahuan korang, Kampung Sungai Betul sekarang bukan sekadar kampung nelayan biasa tau…ia dah jadi pintu masuk ke keindahan semula jadi Beting Beras Basah yang masih cantik terpelihara!

Kalau korang nak lari sekejap dari hiruk-pikuk kota, memang tempat ni perfect gila! Sumpah, sunyi dan damai, sesuai untuk recharge minda, lepak santai atau cuma nak enjoy udara segar kampung.

Sempat jugalah Min singgah ke beberapa lokasi menarik kat sini. Dari suasana kampung yang tenang sampai ke keindahan alam semula jadi, memang puas hati gila!

Masjid Ismailiah – Tenang & Penuh Makna Komuniti

Min sempat singgah kat Masjid Ismailiah masa kat Sungai Betul ni. Ini lah salah satu masjid utama di kampung ni yang jadi tempat ibadat dan pusat komuniti setempat.

Masjid ni memang nampak simple dan tenang, sesuai sangat kalau korang nak rasa suasana kampung yang damai sambil singgah solat atau ambil gambar suasana kampung.

Masjid Ismailiah — walaupun dinaik taraf melalui Projek Kampung Angkat MADANI, keaslian binaanya masih kekal kukuh.

Tapi apa yang menarik minat Min nak tahu dengan lebih lanjut pasal masjid ni adalah binaannya yang dikatakan berusia lebih 100 tahun! Keasliannya terjaga sehingga sekarang! Sumpah klasik dan cantik gila.

Hasil Projek Kampung Angkat MADANI, Masjid Ismailiah tampil lebih kemas dan selesa, menjadi pusat komuniti untuk penduduk dan pengunjung.

Salah satu pengalaman Min kat Masjid Ismailiah yang paling menarik ialah tengok kayu halban yang diketuk untuk panggil orang solat dan pelbagai pemberitahuan yang digunakan kalau ada aktiviti atau kematian.

Korang tahu tak kayu halban ni dah berusia lebih 50 tahun. Dan ini sebenarnya kayu yang kedua digunakan di masjid itu. Kadang-kadang bila azan tak boleh dilaungkan sebab elektrik tak ada, penduduk kampung hanya gunakan halban ni je, memang tradisi kampung betul lah!

Kayu halban di Masjid Ismailiah, warisan hampir 50 tahun yang masih digunakan untuk memanggil jemaah, terutama ketika bekalan elektrik tiada.

Yang bestnya, ada pelbagai jenis ketukan dan bunyi untuk kayu halban ni. Kadang-kadang imam atau jemaah ketuk 4 pusingan, supaya bunyi dia sampai ke seluruh kampung dan orang tahu masa nak solat.

Bunyi ketukan halban ni unik tau korang, dan setiap jenis ketukan ada maksud tersendiri, bukan sekadar bunyi. Inilah satu cara komunikasi tradisional yang masih dipelihara sampai sekarang.

Bunyi ketukan kayu halban menghidupkan suasana kampung dan jadi simbol warisan yang masih dijaga hingga hari ini.

Oh ya, menurut Tok Sidang, Projek Kampung Angkat MADANI (KAM) memang banyak bagi perubahan dekat masjid kampung ni. Kalau dulu masjid sekadar tempat solat, sekarang fungsinya makin luas dan hidup dengan pelbagai aktiviti.

Sekarang masjid ni dah kemas, cantik, siap ada stor baru dan karpet lawa. Memang rasa selesa kalau orang luar datang singgah. Serius, rasa macam komuniti hidup semula!

Antara penambahbaikan yang dibuat bawah KAM ialah pembinaan tempat mandi jenazah. Sebelum ni, urusan mandi jenazah biasanya dibuat di rumah sendiri. Tapi lepas kemudahan ni disediakan di masjid, semuanya jadi lebih teratur dan memudahkan penduduk kampung.

“Dulu sunyi je, sekarang Masjid Ismailiah dah hidup semula. Dari pengurusan jenazah, ceramah, majlis kesyukuran, sampai kenduri kampung semua kami lakukan disini. Jemaah harian pun dah penuh satu saf. Memang rasa kelainannya. Komuniti kampung hidup semula di sini,” jelas Tok Sidang.

Tok Sidang gembira melihat perkembangan Kampung Sungai Betul, dari kampung sunyi kini makin hidup dan meriah hasil Projek Kampung Angkat MADANI.

Bukan tu saja, ruang solat wanita pun diperbesarkan dan dibuat lebih selesa, jadi jemaah wanita pun makin ramai yang datang ke masjid. Suasana masjid sekarang rasa lebih mesra dan menyenangkan untuk semua peringkat umur.

Yang paling ketara, budak-budak dan anak muda pun makin rajin turun masjid. Ada yang datang untuk solat berjemaah, ada yang join aktiviti, dengar ceramah dan program komuniti yang dianjurkan. Masjid yang dulu sunyi, kini kembali jadi tempat orang berkumpul dan beraktiviti.

Rumah Warisan – Nostalgia Kampung Lama

Lokasi seterusnya, Min singgah kat Rumah Warisan milik Nor Azizi Rahim. Rumah tradisional Melayu lama ni masih wujud dan memang cantik sangat. Dengan seni bina kayu klasik dan elemen lama yang unik, memang ada vibe nostalgia kampung lama yang autentik.

Rumah Warisan Nor Azizi – simpanan nostalgia dan koleksi antik yang bawa kita balik ke zaman dulu.

Dalam rumah ni, korang boleh tengok barang-barang rare, limited dan unik yang susah nak jumpa kat mana-mana lagi. Antaranya ada cawan, gelas, dan koleksi antik lain, sambil korang boleh rasai sendiri suasana sejarah Perak yang hidup dalam rumah ni.

Masuk je Rumah Warisan, terus rasa nostalgia Perak.

“Usia rumah ni dah 60 tahun, kami beli dan pasang sendiri dalam masa 2 tahun dan walaupun masih belum lengkap sepenuhnya, pelancong masih lagi boleh datang dan melihat sendiri rumah warisan yang disediakan disini.

“Dalam rumah ni ada banyak koleksi negeri Perak, macam songket, cadar, katil, cawan-cawan lama, antaranya cawan F&N semasa sambutan Hari Kemerdekaan 1957.

Tahan lama! Cawan F&N semasa sambutan Hari Kemerdekaan 1957.

“Ada juga pelbagai teko yang orang Melayu dulu guna, cawan bujang, dan banyak lagi. Memang pelancong boleh tengok semua ni kat sini. Kalau nak buat pembelian pun boleh je,” tambah Nor Azizi.

Yang paling best, Min perasan piring hitam pun ada kat Rumah Warisan ni. Memang layan habis bila dengar lagu-lagu lama zaman dulu, terus rasa macam balik ke nostalgia Perak.

Layan lagu-lagu lama dengan piring hitam ni memang puas hati, sambil tengok koleksi antik kat rumah ni.

Bunyi dia sedap, dan vibe dia memang lain daripada muzik moden. Sambil tengok koleksi antik lain, korang boleh relax, lepak, dan layan vibe kampung lama. Inilah pengalaman unik yang korang kena rasai sendiri kalau nak rasa sejarah sambil chill!

Setiap sudut Rumah Warisan ada ceritanya sendiri – memang syok untuk pelancong yang minat sejarah.

Menurut Nor Azizi, sejak rumah ini siap kira-kira setahun lalu selepas Projek Kampung Angkat MADANI (KAM) dilaksanakan, anggaran jualan yang dicatatkan sudah mencecah sekitar RM60,000. Jumlah tersebut merangkumi barangan koleksi lama yang dibeli sendiri, selain koleksi yang dibeli oleh pelancong yang singgah dan akhirnya jatuh hati dengan barangan klasik yang dipamerkan di rumah ini.

Untuk info, baik pulih dan naik taraf rumah ini merupakan salah satu projek di bawah KAM. Melalui inisiatif ini, rumah lama yang sebelum ini kurang dimanfaatkan diberi nafas baharu dan dijadikan tarikan kepada pelancong yang meminati barangan vintaj dan nilai nostalgia.

Kini, Nor Azizi sedang meneruskan fasa penambahbaikan dengan mengubah suai ruang dapur serta menambah koleksi baharu yang lebih menonjolkan identiti negeri Perak, sekali gus menjadikan rumah ini bukan sekadar ruang pameran, tetapi satu pengalaman budaya untuk pengunjung.

Kat Rumah Warisan ni, ada juga dapur khas di luar rumah untuk pengunjung yang datang.

Tambahnya, sejak kampung mereka diangkat melalui Projek Kampung Angkat MADANI, semakin ramai pelancong dari Johor Bahru, Terengganu, Sepang dan kawasan sekitar mula singgah dan datang berkunjung ke sini.

Buku sejarah Perak yang rare! Sambil lepak kat Rumah Warisan, boleh belajar sejarah negeri dengan santai.

“Dulu, masa saya mula buat rumah ni, kunjungan memang kurang. Tapi sekarang, kami menerima lebih ramai pengunjung yang datang, terutamanya hujung minggu, singgah datang tengok rumah ni.

Nor Azizi (kanan) bersama ibu dan bapanya.

“Ada juga yang datang untuk photoshoot, dan Raya nanti pun dah ramai tempah untuk bergambar dalam rumah warisan ni. Alhamdulilah memang syukur sebab rumah warisan sekarang lebih dikenali dan ramai yang datang nikmati suasana nostalgia kampung lama ini,” akhirinya sambil tersenyum.

Inap Tandang Shah: Homestay Baru, Vibe Kampung Lama

Sebelum Min teruskan perjalanan ke Beting Beras Basah, Min sempat singgah ke Homestay Inap Tandang Shah yang baru siap dibina pada tahun 2025.

Tempat best untuk rehat dan nikmati vibe kampung Sungai Betul.

Homestay ni masih baru, tapi suasana dia memang tenang dan selesa. Kawasannya dikelilingi oleh pokok kelapa dan sesuai sangat untuk korang yang nak rasa pengalaman bermalam ala kampung, jauh dari bunyi bising bandar.

Dengan persekitaran kampung yang damai, homestay ni jadi pilihan menarik untuk pelancong yang datang ke Kampung Sungai Betul, sama ada nak lepak santai, bermalam sekejap sebelum sambung aktiviti ekopelancongan, atau sekadar nak ‘healing’ sambil nikmati suasana desa.

Homestay ni bukan sekadar tempat tidur, tapi pengalaman ‘inap cara kampung’ yang mendamaikan!

“Sejak Kampung Sungai Betul diangkat jadi Kampung Angkat MADANI, homestay ni pun mula ada orang sewa. Dulu memang sunyi, tak ada siapa bermalam. Sekarang pelancong luar dah mula datang – ada yang bawa keluarga, buat aktiviti keluarga, BBQ, malah kenduri kahwin pun ada yang sewa,” kata Fendi Shahminan, pemilik Homestay Inap Tandang Shah.

Fendi Shahminan, pemilik Homestay Inap Tandang Shah.

Perlahan-lahan, homestay ni jadi antara pilihan pengunjung yang nak ‘inap cara kampung’, dan kehadiran pelancong ni secara tak langsung menghidupkan suasana kampung yang dulu sunyi.

Beting Beras Basah: Alam, Aktiviti & Sejarah Dalam Satu Destinasi

Sampai je kat Jeti Beting Beras Basah, memang terus teruja Min. Dulu, kalau nak ke beting ni, orang kena redah kawasan bakau, jalan pun agak mencabar. Tapi lepas ada peruntukan dari Projek Kampung Angkat MADANI, semuanya jadi lebih mudah. Jeti dibina, akses pun lebih selesa dan selamat untuk penduduk serta pelancong.

Sebelum sampai ke Beting Beras Basah, pelancong akan dijamu dengan pemandangan ladang kelapa pandan di kiri dan kanan jalan – tenang, hijau dan mendamaikan.

Kat kawasan ni, aktiviti pun dah mula meriah. Antaranya enam buah kayak disediakan untuk pengunjung yang nak menikmati suasana sungai dan alam sekitar. Selain tu, ada juga laluan khas (track) untuk aktiviti lasak seperti ATV, sesuai untuk yang nak rasa pengalaman lain sikit bila datang ke kampung ni.

Jalan yang pelancong kena lalu dulu – kiri kanan dipenuhi pokok kelapa pandan. Memang seronok mata tengok.

Menariknya, perkhidmatan kayak dan tram yang disediakan di kawasan ini merupakan antara kemudahan yang diperoleh hasil peruntukan dana Projek Kampung Angkat MADANI. Tram tersebut beroperasi setiap Sabtu dan Ahad, digunakan untuk membawa pelancong serta penduduk sekitar bagi menikmati suasana kampung dengan lebih santai.

“Tram ni sangat membantu, terutama untuk masuk ke laluan kampung yang sempit, jadi pelancong boleh sewa tram untuk pusing kampung tanpa perlu risau soal parkir atau jalan kecil. Semua ni mula dapat direalisasikan selepas adanya Projek Kampung Angkat MADANI,” jelas salah seorang penduduk setempat, Azmir.

Inisiatif ini bukan saja memudahkan pergerakan pengunjung, malah secara tak langsung menambah tarikan pelancongan dan menghidupkan aktiviti ekonomi komuniti setempat.

Azmir, antara orang kuat yang memainkan peranan penting dalam menjayakan Projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Sungai Betul.

Walaupun begitu, jeti ni kini sedang melalui fasa baik pulih semula (rebuild) bagi menambah baik kemudahan sedia ada.

Laluan jeti yang dibina di bawah Projek Kampung Angkat MADANI baru-baru ini bagi memudahkan pelancong datang ke sini.

Dalam masa sama, anak-anak muda kampung pun tak duduk diam. Ramai yang bekerja di ladang kelapa pandan, dan ada juga yang mula buat bisnes kecil-kecilan di kawasan ni untuk meriahkan suasana pelancongan.

Impak paling ketara yang dapat dilihat sekarang ialah jumlah pelancong yang semakin meningkat, terutamanya waktu cuti dan hujung minggu. Dengan adanya peruntukan untuk pembinaan jambatan dan kemudahan, pergerakan pelancong jadi lebih lancar.

Penduduk pun mula ambil peluang. Ada yang jual makanan dan produk kampung, dengan anggaran jualan boleh mencecah sekitar RM200 sehari. Memang boleh tahan kuat juga pulangannya.

Tambah Azmir, selepas ni ada perancangan untuk menambah lebih banyak aktiviti baharu di Beting Beras Basah bagi menarik lebih ramai pelancong.

“Beberapa idea masih dalam perbincangan, tapi matlamat kami jelas iaitu nak jadikan kawasan ni lebih hidup dan meriah, tapi tetap jaga kelestarian alam sekitar,” kata Azmir.

Selain keindahan alam, Beting Beras Basah juga menyimpan nilai sejarah penting negeri Perak. Kawasan ini dikaitkan dengan Sultan Muzaffar Shah I, Sultan pertama Perak.

Beting Beras Basah – permata semula jadi Kampung Sungai Betul yang tenang, luas dan mendamaikan jiwa.

Menurut sejarah, baginda pernah berlabuh dan menjejakkan kaki di Beting Beras Basah sebelum dimasyhurkan sebagai Sultan Perak. Sebab tu, beting ini bukan sekadar tarikan pelancongan, tapi juga simbol sejarah dan kedaulatan negeri.

Salah satu hentian di atas jambatan Beting Beras Basah, tempat pengunjung boleh berhenti seketika dan membaca sejarah Kesultanan Perak serta kisah Beting Beras Basah.

Min sempat juga bertanya dengan salah seorang pelancong yang datang ke sini, Tengku Anuar Raja Hassan yang berusia 62 tahun. Beliau bersama isteri dan anak lelakinya datang dari Sepang untuk melawat sejarah negeri Perak ini.

Tengku Anuar Raja Hassan, pelancong dari Sepang yang sanggup datang jauh semata-mata nak mengenali sejarah dan keunikan Kampung Sungai Betul.

“Kat sini memang tempat bersejarah, jadi kalau boleh, banyakkan lagi info atau gambaran pasal tempat pelancongan ni. Lagi best kalau ada benda-benda menarik macam labu sayong atau barang-barang lain yang boleh tunjukkan sejarah Perak,” jelas beliau.

Dari Sunyi ke Meriah: Impak Projek Kampung Angkat MADANI

Kampung Sungai Betul memang berubah sejak diangkat dalam Projek Kampung Angkat MADANI. Dari masjid, Rumah Warisan, homestay baru, sampai ke Beting Beras Basah dengan jeti moden, semuanya nampak kesan positif projek ni.

Pelancong dan pengunjung yang datang bukan sekadar nak tengok pemandangan je, tapi nak rasa sejarah Perak, ikut vibe kampung lama, dan support ekonomi tempatan.

Projek Kampung Angkat MADANI bukan sekadar baik pulih infrastruktur je, tapi menghidupkan komuniti, sejarah, dan budaya kampung! So gais, kalau nak lari dari bandar dan rasa healing cara kampung, Kampung Sungai Betul memang wajib singgah!






Source link

OR

Scroll to Top