Tak Sangka Lagu Sendiri Jadi OST, Farihin Arnia Luah Rasa Syukur – “Pada Awalnya Tertekan Juga Sebab…”

Tak Sangka Lagu Sendiri Jadi OST, Farihin Arnia Luah Rasa Syukur – “Pada Awalnya Tertekan Juga Sebab…”


Usaha berterusan akhirnya membuahkan hasil buat pempemgaruh dan pelakon, Farihin Arnia, apabila dia kini berpeluang mengembangkan bakat dalam bidang nyanyian, sekali gus melebarkan perjalanan seninya dalam industri hiburan.

Farihin, 25, menyifatkan peluang yang diterima sebagai satu nikmat besar, apatah lagi selepas melalui pelbagai cabaran untuk menonjolkan bakat sejak awal pembabitannya dalam dunia kandungan digital.

Menurut aktor kelahiran Sabah itu, media sosial menjadi medan utama untuknya memperlihatkan kebolehan diri, terutama apabila peluang untuk berkarya di negeri kelahirannya agak terhad.

“Saya memang bermula dengan menghasilkan konten kerana mahu orang nampak bakat saya. Itu impian saya sejak awal.

“Di Sabah, agak sukar untuk kembangkan bakat, jadi saya pilih untuk aktif di TikTok dan cipta cerita sendiri sebagai platform untuk berkarya.

“Syukur, dengan bantuan rakan-rakan seperti Ryan Bakery serta sokongan pihak pengurusan, saya akhirnya diberi peluang untuk berada di sini,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Kelas Belakang yang berlangsung di TGV, KLCC, baru-baru ini.

Lebih manis, Farihin turut diberi kepercayaan menghasilkan serta menyanyikan lagu runut bunyi bagi drama terbaharu lakonannya itu, sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikirannya sebelum ini.

“Saya memang tak sangka lagu ciptaan sendiri, Jatuh Bangun, dipilih sebagai OST drama Kelas Belakang.

“Dalam salah satu episod, watak yang saya bawakan perlu menghasilkan lagu sendiri. Jadi saya tulis lagu dan lirik, kemudian serahkan kepada pengarah untuk dinilai.

“Alhamdulillah, respon yang diterima sangat baik dan tidak lama selepas itu pihak penerbitan memaklumkan lagu tersebut akan dijadikan lagu runut bunyi,” jelasnya.

Mengakui berasa sedikit tertekan kerana ini merupakan pengalaman pertamanya sebagai penyanyi, Farihin bagaimanapun melihat peluang itu sebagai satu ruang pembelajaran yang penting dalam membina kerjaya seni.

“Memang ada tekanan pada awalnya sebab saya dikenali sebagai content creator. Tapi ini peluang besar, jadi saya tak mahu lepaskan.

“Apabila orang sudah beri kepercayaan, saya akan buat sehabis baik. Kalau ada peluang untuk rakam lagu lain selepas ini, saya terbuka untuk mencuba,” katanya.

Dalam masa sama, Farihin turut tampil dalam drama Kelas Belakang yang memaparkan realiti kehidupan pelajar kelas paling tercorot, sering dipandang rendah dan terpinggir.

Drama tersebut turut dibintangi barisan pelakon muda seperti Zairi Aziz, Amylia Aidura, Areef Amran, Faha Azhar, Ryliana Azizan, Arfie Shah dan Myra Afrina.

Untuk makluman, Kelas Belakang arahan Nurhanisham Muhammad atau Labu mula bersiaran sejak 8 Januari lalu di platform penstriman Viu.



Source link

OR

Scroll to Top