Tak semestinya anjur Pestabola Merdeka setiap tahun

Tak semestinya anjur Pestabola Merdeka setiap tahun


Mohd Firdaus. FOTO: BERNAMA

KETIADAAN Kejohanan Pestabola Merdeka tahun ini bukan satu isu besar sebaliknya ia mungkin tindakan dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk merencana pelan berbeza untuk skuad Harimau Malaya.

Pandangan itu disuarakan bekas Naib Presiden FAM, Firdaus Mohamed apabila menyifatkan kejuaraan itu juga tidak semestinya perlu dianjurkan setiap tahun kerana boleh menjejaskan keterujaan peminat.

“Saya tak pasti kenapa Pestabola Merdeka tiada tahun ini, mungkin FAM mempunyai perancangan lain untuk Harimau Malaya. Ada ketika jika Pestabola Merdeka ini dianjurkan setiap tahun pun tak meriah juga.

“Saya fikir biarlah ia dimainkan semula mungkin selepas tiga atau empat tahun. Setiap pertandingan yang mahu dianjurkan juga perlu dapatkan pandangan daripada jurulatih untuk melihat apa perancangan dia.

“Secara peribadi, saya berasa kejohanan itu (tidak dianjurkan tahun ini) bagus juga. Namun, mungkin lagi dua tahun boleh adakan balik Pestabola Merdeka, atau pun tahun depan,” katanya.

Firdaus yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM merupakan antara individu yang memainkan peranan penting dalam menghidupkan kembali Pestabola Merdeka pada 2023 selepas berehat hampir satu dekad.

Terdahulu, Malaysia muncul juara edisi 2023 selepas menewaskan Lubnan 1-0 di pentas akhir Pestabola Merdeka, sekali gus menebus kekecewaan selaku naib juara pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, bagi tahun ini, Harimau Malaya pada mulanya dijadual menyertai kejohanan Piala Negara-Negara Asia Tengah (CAFA), namun akhirnya menarik diri.

Sebagai ganti, skuad kebangsaan dijadual mengadakan dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Singapura dan Palestin pada jendela perlawanan bulan depan.



Source link

OR

Scroll to Top