Tokyo: Bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Sanae Takaichi pada Sabtu bakal menjadi perdana menteri wanita pertama Jepun selepas memenangi pemilihan presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) dalam pusingan penentuan, lapor Agensi Berita Kyodo.
Menggantikan Perdana Menteri Shigeru Ishiba yang berundur, Takaichi, 64, turut menjadi wanita pertama menyandang jawatan tertinggi parti pemerintah itu.
Pendirian agresif beliau dalam diplomasi dan keselamatan dijangka mencetuskan pergeseran baharu dengan negara jiran Asia seperti China dan Korea Selatan.
Takaichi memperoleh 185 undi dalam pusingan penentuan berbanding 156 undi yang diraih Menteri Pertanian Shinjiro Koizumi.
Dalam pusingan pertama, lima calon termasuk Takaichi, Koizumi dan Ketua Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi dilihat sebagai pesaing utama.
Pemilihan kepimpinan itu berlangsung di tengah-tengah ketidaktentuan politik yang semakin meningkat selepas gabungan dengan sekutunya, parti Komeito, kehilangan majoriti dalam kedua-dua dewan dalam parlimen – keadaan pertama seumpamanya sejak LDP ditubuhkan pada 1955.
“LDP menandakan era baharu,” kata Takaichi, yang dikenali sebagai ahli politik konservatif tegar, kepada rakan-rakan ahli Parlimen selepas dipilih.
Beliau berikrar parti yang hampir 70 tahun memegang kuasa itu akan menukar “kebimbangan rakyat kepada harapan.”
Takaichi berkongsi pandangan dengan bekas perdana menteri mendiang Shinzo Abe yang mengekalkan pendirian nasionalis.
Lawatan berkala beliau ke kuil Yasukuni yang dikaitkan dengan perang dan penuh kontroversi sering mengundang kritikan keras dari Beijing dan Seoul.
Beliau dijangka dipilih sebagai perdana menteri seterusnya pada sidang parlimen khas sekitar 15 Oktober, memandangkan gabungan minoriti itu masih kekal sebagai blok terbesar dengan parti pembangkang masih berpecah.
Takaichi turut berdepan cabaran peribadi. Beliau menjaga suaminya yang lumpuh di bahagian kanan akibat strok, selain berkongsi pengalamannya sendiri gagal mengesan simptom menopaus hingga tidak merawatanya yang menyebabkan artritis reumatoid dan akhirnya memerlukan sendi tiruan.
© New Straits Times Press (M) Bhd





