Perikatan Nasional (PN) mengakui kemelut dalaman yang sedang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ketika ini boleh menjejaskan kekuatan gabungan itu, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Kemelut dalaman Bersatu boleh beri kesan kepada gerak kerja
Memetik laporan daripada Berita Harian, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan sebarang perpecahan atau krisis dalam parti politik pasti akan memberi kesan terhadap gerak kerja serta fokus utama gabungan.
“Itu isu dalaman, saya tidak ada maklumat untuk mengulas mengenai pemecatan beberapa pemimpin BERSATU.
“Bagaimanapun, mana-mana organisasi, baik pertubuhan atau parti politik yang mempunyai krisis dalaman sudah tentu menjejaskan aktivitinya,” katanya.

Kemelut dalaman BERSATU boleh ganggu tumpuan PRN
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Pasar Berek 12 oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, hari ini.
Takiyuddin turut menasihatkan semua rakan dalam PN agar kekal fokus dan memperkukuh perpaduan sesama parti, selain tidak membiarkan isu dalaman mengganggu tumpuan menjelang pilihan raya.
“Ia bukan hanya BERSATU kerana ada juga parti lain yang berdepan beberapa isu dalaman.
“Ini bukan masa sesuai berdepan masalah, sebaliknya kita perlu menstabilkan kedudukan masing-masing dan berharap semua perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” ujarnya.

Artikel lain: Rombakan dalam PN! Saifuddin & Mohd Shukri digugurkan dari senarai pengerusi negeri
Untuk rekod, minggu lalu Lembaga Disiplin BERSATU memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, digantung keahlian selama sepenggal susulan isu Akuan Bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu.






