Takraw China-ASEAN: Sukma Pulau Pinang naib juara, tewas kepada Myanmar

Takraw China-ASEAN: Sukma Pulau Pinang naib juara, tewas kepada Myanmar


SKUAD Sukan Malaysia (Sukma) Pulau Pinang mempamerkan semangat juang yang tinggi sebelum akur selaku naib juara acara regu Kejohanan Jemputan Sepak Takraw China-ASEAN 2025 di Gimnasium Zaide, Huishui, Guizhou, China.

Pasukan kendalian Sofix Nadzri yang mewakili Malaysia tewas 9-15, 17-16, 8-15 kepada Myanmar dalam perlawanan akhir yang berlangsung lebih sejam pada Isnin.

Regu pilihan Malaysia ini menampilkan tekong Nabil Afiq Nasir, perejam atau apit kanan Hadi Syazmin Zuriman Yadzri, dan pengumpan atau apit kiri Ismal Nazri.

Kejayaan selaku naib juara membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak 8,000 yuan renminbi (RM4,728.69), manakala pasukan Myanmar membawa pulang 10,000 yuan renminbi (RM5,911) sebagai juara.

Meskipun menunjukkan kemajuan dari segi prestasi, skuad Sukma Pulau Pinang gagal menebus kekalahan kepada Myanmar dalam perlawanan Kumpulan B pada Ahad yang berakhir 11-15, 10-15 dalam masa 37 minit.

Vietnam dan Laos yang masing-masing tewas kepada Malaysia dan Myanmar dalam separuh akhir, berkongsi tempat ketiga dan menerima 3,000 yuan renminbi (RM1,773) setiap pasukan.

Pilihan Malaysia sebelum itu mara ke final selepas menundukkan Vietnam 15-10, 15-10 dalam tempoh 39 minit di separuh akhir, selepas memulakan kempen Kumpulan B dengan kemenangan meyakinkan ke atas tuan rumah, 15-3, 15-8 dalam masa 25 minit.

Sementara itu, Thailand yang pada awalnya disebut sebagai pilihan utama juara dengan barisan pemain senior seperti Siriwat Sakha, Kritsanapong Nontakote, Jirasak Pakbuangoen dan Marukin Phanmakon, telah diisytiharkan tersingkir selepas kekalahan walkover dalam Kumpulan A.

Pasukan ‘Gajah Putih’ itu memulaukan perlawanan menentang Vietnam dan Laos pada Ahad selepas bantahan mereka mengenai keselamatan gelanggang di Gimnasium Zaide yang didakwa basah dan licin tidak dilayan oleh penganjur.

Pasukan yang dikemudi tekong legenda pemenang tujuh pingat emas Sukan Asia, Suebsak Phunsueb, dan dilatih bekas perunding Malaysia, Poonsak Permsap, kemudian meninggalkan China untuk pulang ke Thailand.

Tindakan drastik dan mengejut itu sekali gus menyaksikan mereka memulaukan keseluruhan acara kuadran (berempat) pada Selasa, yang dijadualkan berakhir Rabu.

Thailand juga enggan beraksi dalam semua perlawanan kategori wanita bagi acara regu dan kuadran dalam Kumpulan A sejak hari pertama kejohanan, atas alasan yang sama.



Source link

OR

Scroll to Top