am@hmetro.com.my
Bukit Kayu Hitam: Cubaan lelaki menyeludup 110 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah gagal apabila berjaya ditahan dalam serbuan di Pokok Sena, di sini.
Dalam operasi 8.30 pagi pada 4 Disember lalu, suspek berusia 40-an yang memandu Toyota Vellfire turut merempuh kenderaan pihak berkuasa ketika cuba melarikan diri selepas dilihat mencurigakan.
Serbuan dilakukan sepasukan anggota Customs Operational Battle Force Response Assault (Cobra) hasil maklumat Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Bukit Kayu Hitam.
Pengarah Kastam Kedah, Nor Izah Abd Latiff berkata, pihaknya mengesan MPV berkenaan sedang bergerak laju dari Taman Bandar Sejahtera menghala ke Jalan Kampung Tok Kun, Pokok Sena.
“Menyedari kenderaan mereka dikesan, suspek cuba meloloskan diri dengan melanggar kenderaan pihak berkuasa dan terbabas.
“Suspek kemudian bertindak terjun dari kenderaan yang masih bergerak dan cuba melarikan diri ke dalam kebun getah berhampiran, namun berjaya diberkas,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Nor Izah berkata, pemeriksaan terhadap MPV itu menemui empat guni besar pelbagai warna tersorok di belakang kenderaan dan beberapa bungkusan teh cina dipercayai mengandungi dadah jenis methamphetamine.
Menurutnya, pihaknya merampas kesemua dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 110 kilogram dengan anggaran berjumlah RM3.52 juta.
Katanya, suspek direman sehingga 16 Disember ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Rampasan ini adalah modus operandi kali pertama menggunakan kenderaan mewah oleh sindiket dadah untuk penyeludupan di kawasan sempadan.
“Toyota Vellfire ini dipercayai digunakan untuk mengangkut dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd