Bisha: Pelumba Perancis, Guerlain Chicherit, memimpin Rali Dakar selepas membuka tirai perlumbaan dengan cemerlang pada peringkat pertama sejauh 413 kilometer (km) di sekitar bandar Bisha.
Memandu Mini, Chicherit mencatat masa 4 jam 35 minit 53 saat (s), mendahului pelumba Toyota dari Amerika Syarikat, Seth Quintero, dengan kelebihan 50s.
Namun, perlumbaan ini tidak sekadar menguji kelajuan tetapi turut memperlihatkan strategi pintar oleh para pelumba utama.
Juara bertahan Carlos Sainz berjaya menduduki tempat ketujuh, sementara pemenang lima kali, Nasser Al Attiyah, berada di tangga ke-20, dengan Sebastien Loeb dan Yazeed Al-Rajhi masing-masing di tangga ke-24 dan ke-21.
Pelumba-pelumba terkemuka sengaja memperlahankan rentak untuk mendapatkan kedudukan lebih baik bagi menghadapi peringkat 48 jam Chrono yang mencabar selepas ini.
“Kami tidak mahu mencatat masa terbaik hari ini. Jadi, kami berhenti beberapa minit sebelum garisan penamat untuk mengelak menjadi yang pertama memulakan perlumbaan esok,” kata Loeb.
Al Attiyah, yang memandu Dacia, turut menggunakan pendekatan serupa.
Selepas mengalami tayar pancit, dia sengaja berhenti selama 15 minit untuk mendapatkan posisi lebih strategik.
“Strategi ini penting untuk esok. Jika saya memulakan perlumbaan dari kedudukan ke-50, ia lebih baik,” ujar pelumba Qatar itu.
Menurutnya lagi, pengalaman dari edisi lalu menjadi pengajaran berharga.
“Tahun lalu, kami mengambil risiko tetapi kali ini kami perlu bijak. Saya gembira kerana tiada masalah besar hari ini,” tambahnya.
Peringkat seterusnya dijangka membawa cabaran lebih besar, dengan padang pasir Arab Saudi menjadi pentas ujian kemahiran, ketahanan, dan strategi untuk para pelumba.
© New Straits Times Press (M) Bhd