BEKAS pemain Manchester United, Gary Neville mengkritik taktikal pengendali Liverpool, Arne Slot selepas The Reds tumbang 2-1 di tangan Newcastle United dalam aksi final Piala Liga, awal pagi tadi.
Liverpool gagal mempamerkan prestasi dominan seperti yang sering dipertontonkan dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini, sekali gus tersingkir daripada dua kejohanan dalam tempoh seminggu.
Sebelum ini, mereka turut mengalami kekalahan dalam penentuan sepakan penalti kepada Paris Saint-Germain (PSG) di pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara, Selasa lalu.
Liverpool menguasai 66 peratus penguasaan bola, namun hanya mampu melakukan tujuh percubaan berbanding 17 yang dimiliki Newcastle.
Skuad bimbingan Eddie Howe jelas lebih tajam dalam memanfaatkan kelemahan di bahagian tengah lawan.
Gandingan tengah Liverpool yang kebiasaannya ampuh, Ryan Gravenberch dan Alexis Mac Allister, kelihatan bergelut sepanjang perlawanan.
Neville mengkritik Slot kerana gagal mengendalikan keadaan walaupun beberapa pertukaran dibuat selepas Liverpool ketinggalan dua gol di separuh masa kedua.
“Liverpool kelihatan semakin teruk,” kata Neville selepas Curtis Jones, Darwin Nunez dan Cody Gakpo dimasukkan sebagai pemain gantian.
“Pemain simpanan tidak membantu mereka. Bahagian tengah berterabur. Ruang terbuka di mana-mana,” katanya.
Jurulatih Belanda itu membawa masuk Harvey Elliott dan Federico Chiesa menggantikan Gravenberch dan Luis Diaz pada minit ke-74.
Percaturan itu membuahkan hasil apabila kedua-dua pemain terbabit bergabung untuk menghasilkan gol saguhati Liverpool pada minit ke-94, namun ia sudah terlambat untuk mengubah nasib mereka.
Newcastle mendahului menerusi tandukan Dan Burn dari jarak 15 ela selepas menerima hantaran sudut Kieran Trippier beberapa minit sebelum rehat separuh masa pertama.
Newcastle kemudian menggandakan kelebihan menerusi penyudah tajam penyerang utama mereka, Alexander Isak, sebaik separuh masa kedua bersambung.
Liverpool sempat merapatkan kedudukan hasil jaringan Chiesa di penghujung perlawanan, namun Newcastle berjaya bertahan hingga wisel penamat untuk memastikan kemenangan bersejarah mereka.
Trofi ini menamatkan penantian 70 tahun The Magpies untuk menjulang kejuaraan domestik selepas kali terakhir memenangi Piala FA pada tahun 1955.