Takut dimarahi teman lelaki punca wanita reka cerita disamun di Genting Highlands

Takut dimarahi teman lelaki punca wanita reka cerita disamun di Genting Highlands

Takut dimarahi teman lelaki punca wanita reka cerita disamun di Genting Highlands


mhafis@mediaprima.com.my

Bentong: Gara-gara kalah judi sebanyak RM10,000 dan bimbang dimarahi teman lelaki, seorang wanita warga asing bertindak membuat laporan polis palsu dengan mendakwa dirinya disamun di Genting Highlands, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menerima laporan daripada wanita terbabit kira-kira jam 10.30 malam semalam.

Menurutnya, dalam laporan itu, wanita terbabit mendakwa dia disamun dua wanita warga asing dan kehilangan wang tunai RM10,000 kira-kira jam 5.30 petang hari sama di hadapan lif sebuah hotel di Genting Highlands.

“Bertindak atas laporan diterima, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bentong menjalankan siasatan lanjut, namun hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian samun seperti dilaporkan tidak berlaku.

“Siasatan lanjut mendapati wanita berkenaan sebenarnya mengalami kerugian RM10,000 selepas bermain judi di sebuah pusat perjudian di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaiham berkata, suspek membuat laporan palsu berkenaan bagi mengelakkan dimarahi teman lelakinya selepas kehilangan wang berkenaan.

“Wanita itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri semasa siasatan dijalankan.

“Susulan itu, pegawai penyiasat jenayah IPD Bentong membuat laporan polis terhadap wanita terbabit kerana disyaki membuat laporan polis palsu,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasa sah sehingga mendatangkan mudarat kepada pihak lain.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal memiliki pasport sah untuk masuk dan tinggal di Malaysia, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Zaiham menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memberi maklumat yang benar dan tepat serta tidak membuat laporan polis palsu kerana ia adalah satu kesalahan serius di sisi undang-undang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top