Tambahan insentif menanti atlet angkat berat Perak

Tambahan insentif menanti atlet angkat berat Perak


KEJAYAAN atlet angkat berat wanita Perak, Qistina Qharisya Suffia Mohd Muzani yang mencipta sensasi dengan memecahkan tiga rekod kebangsaan kategori 45 kilogram (kg) wanita pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 baru-baru ini mendapat perhatian kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan bahawa atlet yang menyumbang tiga pingat emas itu akan diberikan insentif tambahan sebanyak RM3,000 kerana berjaya memecahkan tiga rekod tersebut.

“Memang kita ada sediakan insentif tambahan untuk atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan. Macam Qistina dia pecah tiga rekod kebangsaan. Tiga-tiga itu rekod kebangsaan jadi dia layak terima RM1,000 bagi setiap rekod yang dipecahkan.

“Insentif tambahan itu memang kita sudah sediakan dalam bajet untuk Sukma ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-52 Tahun 2024 di PUO di sini pada Isnin.

Beliau turut berharap segala kelemahan yang dikenal pasti dapat diperbaiki menjelang penganjuran seterusnya dalam tempoh dua tahun akan datang di Selangor.

Saarani juga menzahirkan penghargaan kepada semua Exco dan agensi yang diberi tanggungjawab menjadi bapa angkat kepada sukan berkenaan sehingga atlet-atlet berjaya membawa balik pingat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top